HUBUNGAN antara kerajaan dan rakyat dalam pembangunan adalah sebenarnya merupakan hubungan tolong menolong berdasarkan rakyat membayar cukai kepada kerajaan maka barulah kerajaan dapat memberi pembangunan kepada rakyat.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, ketika berucap di majlis penyampaian lot-lot tanah penempatan semula bagi mangsa hakisan ombak Pantai Sabak, di Kampung Kenerok, Pengkalan Chepa pada 8 Februari lalu menjelaskan bahawa hubungan itu terlaksana pada dasarnya apabila sesebuah kerajaan itu memungut cukai daripada rakyat lalu cukai daripada rakyat itu digunakan kerajaan bagi membuat pembangunan untuk rakyat.
Beliau memberi contoh, langkah Kerajaan Negeri mengeluarkan belanja
untuk membeli satu kawasan di Pantai Sabak dan kemudian menebusguna kawasan
itu dengan belanja kira-kira RM100,000 bagi diberikan kepada mangsa hakisan
ombak dapat dilakukan kerana rakyat membayar cukai kepada kerajaan.
Menurut beliau tugas kerajaan juga adalah mempastikan keadilan berlaku
sebagaimana yang dituntut oleh agama manakala kita semua hendaklah menerima
dengan rela hati akan qada’ dan qadar' daripada Allah kerana Allah memberikan
ganjaran atas sikap sebegitu.
“Itu sebabnya semiskin-miskin rakyat Kelantan, kita boleh juga buat pembangunan,” katanya
Sehubungan dengan itu, beliau meng-ingatkan penduduk Pantai Sabak supaya sentiasa menyedari bahawa hakisan pantai yang berlaku adalah merupakan kuasa Tuhan dan sebagai peringatan supaya manusia berhati-hati dan tidak derhaka kepada Allah.
Katanya, “Bala ialah percubaan daripada Allah. Nikmat dan susah senang kesemuanya adalah percubaan Allah terhadap hamba-hamba-Nya. Kita mesti ingat ini sebagai qada’ dan qadar daripada Tuhan.
“Sebab itu, kalau kita sambut bala daripada Tuhan dengan baik sebagai qada’ dan qadar’ daripada-Nya kita akan diberi ganjaran.”