KERAJAAN Kelantan telah membelanjakan kira-kira RM100,000 untuk membeli sebidang tanah paya nipah dan kemudian menebus guna dengan menambunnya bagi menempat-kan semula 37 keluarga mangsa hakisan ombak di Pantai Sabak. Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu telah menjadikan kawasan tersebut yang terletak di Kampung Kenerok, Sabak, Pengkalan Chepa sebanyak 40 lot dengan ukuran 40' X 60' setiap lot.
Upacara menyerahkan lot-lot tanah tersebut telah dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, dalam satu upacara ringkas di tapak penempatan semula itu pada 8 Februari lalu.
Menurut penduduk hakisan ombak terhadap Pantai Sabak dikatakan bermula sejak 1985 setelah pasir di pantai itu diambil untuk membesarkan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa. Kemudian hakisan bertambah teruk setelah benteng dibina di Kuala Kemasin tidak jauh dari Pantai Sabak.
Ini merupakan kumpulan kedua mangsa hakisan ombak Pantai Sabak diberikan
tanah percuma sebagai bantuan Kerajaan Negeri bagi membolehkan mangsa-mangsa
terbabit mendirikan rumah dengan belanja sendiri. Pihak Kerajaan
Negeri menghulurkan sedikit bantuan tambahan untuk meringankan beban
yang dihadapi mangsa.
Ketika majlis penyampaian lot-lot terse-but, Tuan Guru Dato' Menteri
Besar mengam-bil kesempatan meneliti rumah yang sedang didirikan oleh penduduk.
Terdapat dua buah rumah kayu sedang didirikan dengan anggar-an belanja
RM6000 - RM7000 setiap sebuah.
Tuan Guru Dato' Menteri Besar menasihatkan supaya mereka yang akan mendirikan rumah di situ supaya membeli kayu dan bahan-bahan binaan secara kelompok dan borong kerana ini lebih murah dan berbagai-bagai kos dapat dijimatkan.
Selain ini, dalam ucapannya di majlis tersebut, beliau menasihatkan supaya baki lot yang belum diserah kepada sesiapa dibangunkan untuk surau dan rumah imam.
Katanya, rumah imam bukanlah diserah-kan kepada peribadi imam itu tetapi kepada penyandang jawatan imam di kawasan itu.
“Mana-mana imam yang menyandang jawatan itu di sini bolehlah mendiami rumah berkenaan sebagaimana yang berlaku pada rumah-rumah kakitangan kerajaan,” katanya.
Beliau juga menasihatkan supaya surau (balaisah) bukan sahaja dijadikan sebagai tempat beribadat tetapi sebagai tempat untuk semua urusan masyarakat seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan, mesyuarat, riadah dan sebagainya.
Sementara itu, Encik Nawawi, Penolong Ketua Jajahan Kota Bharu yang mewakili Ketua Jajahan dalam ucapannya di majlis itu, mengingatkan mereka yang telah menerima tanah tersebut supaya segera mendirikan rumah di atasnya kerana mengikut syarat rumah hendaklah didirikan dalam tempoh dua tahun.
“Sekiranya tidak didirikan dalam tempoh itu, pihak berkuasa negeri boleh mengambil semula tanah berkenaan kerana mereka yang diberikan tanah ini adalah dijangka sebagai orang yang amat memerlukan tanah untuk tempat kediaman,” katanya.