SERAMAI lima belas orang ahli Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan (PURNAMA) berpeluang menyaksikan bagaimana kerja-kerja sepadu dalam industri perkayuan hiliran dilaksanakan di sebuah kilang di Kuala Krai baru-baru ini.
Dalam lawatan ke kilang Syarikat Setia Budi Sdn. Bhd. (SBBS) pada 11 Februari lalu, rombongan PURNAMA yang diketuai oleh Datin Hajjah Tuan Sabariah binti Tuan Ishak, isteri YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Kelantan, menyaksikan kayu-kayu balak dari hutan Kelantan digergaji dan diproses sehingga menjadi papan lantai (paraquet), pintu, tingkap, perabut dan hiasan-hiasan daripada kayu.
Perusahaan ini merupakan satu kelebihan istimewa kilang SBBS kerana dapat mengeluarkan bukan sekadar kayu beruti dan papan biasa sebagaimana yang lazimnya terdapat pada kilang-kilang kayu lain.
Ahli-ahli PURNAMA tersebut menyaksi-kan sendiri kerja-kerja yang dilakukan dan mendapat pengetahuan tentang jentera-jentera dan bahan-bahan yang digunakan untuk melakukan kesemua proses hingga menjadi barang siap yang lengkap dan kemas untuk dibawa ke pasaran.
Di bahagian perabut mereka juga menyaksikan pekerja-pekerja mahir melarik dan memahat ukiran-ukiran halus pada tongkol-tongkol kayu kecil hingga menjadi-kannya sebagai perabut-perabut seperti kerusi, meja, pelapik dinding, bidai dan lain-lainnya yang siap kemas sebagai hasil seni. Ini semua dilakukan menggunakan tangan dan sedikit bantuan jentera.
Kilang kayu SBBS ini mempunyai jentera-jentera yang lengkap untuk menyambung dan mengapit kayu menggunakan gam. Ini membolehkan serpihan-serpihan kayu tidak dibuang begitu sahaja.
Pengarah Urusan SBBS, Encik Kenny Chua Kien Lah, telah memberi taklimat kepada rombongan ahli-ahli PURNAMA tersebut tentang sejarah penubuhan syarikat dan kilang. Beliau dan pegawai-pegawai syarikatnya membawa rombongan ke tiap-tiap bahagian proses kerja di kilang itu.
Setelah lebih dua jam menyaksikan kerja-kerja yang dilakukan, rombongan
dibawa masuk ke gudang pengering perabut-perabut yang telahpun dibalut
dan sedia untuk dieksport. Rombongan juga sempat menyaksikan perabut yang
telah dibungkus dan dikeringkan sedang dimasukkan ke da-lam lori untuk
dieksport ke Tanzania, Afirika.
Lawatan PURNAMA ini bertujuan mempelbagaikan kegiatan persatuan supaya
bukan sekadar melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan urusan berpersatuan
tetapi juga berusaha mengetahui lebih dekat segala kegiatan dan perusahaan
pembangunan Kelantan dan lain-lain tempat.
Rombongan PURNAMA turut disertai oleh Senator Hajjah Hunaizah dan diiringi oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Ibrahim Mahmud dan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Tuan Haji Abdul Fatah Harun.