Ketika berkata demikian kepada penerima-penerima lot-lot tanah pemberian Kerajaan Kelantan kepada mangsa-mangsa hakisan ombak Pantai Sabak baru-baru ini, Tuan Guru menghubungkan kata-katanya itu kepada ganjaran keikhlasan manusia menerima qada’ dan qadar’ daripada Allah dan tanggungjawab keadilan di pihak kerajaan sebagai pemungut cukai terhadap pembangunan rakyat.
Tidak sesiapapun akan menafikan gambaran tentang negeri-negeri lain
di Malaysia pada zahirnya lebih maju atau membangun daripada negeri Kelantan
sebagaimana juga orang tidak mungkin mahu menafikan hakikat bahawa keselesaan
hidup di Kelantan jauh lebih baik daripada di negeri-negeri lain dalam
keadaannya yang ‘miskin’ itu.
Miskin tetapi buat pembangunan, dalam keadaan susah tetapi berasa
selesa, dimusuhi tetapi orang berlumba-lumba hendak bersahabat, adalah
keajaiban-keajaiban Kelantan sejak dipimpin oleh ulama dan melaksanakan
Dasar Membangun Bersama Islam. Bagi orang yang tidak faham atau tidak mahu
faham tentang Dasar Membangun Bersama Islam, dasar ini mereka anggap sebagai
slogan sahaja kerana tidak menghayati hakikat-hakikat hubungan Islam dengan
pembangunan, dengan pemerintahan, dengan keadilan, dengan gaya hidup dan
sebagainya kerana mereka cuma melihat sesuatu dari sudut kebendaan atau
duniawi (sekular) sahaja.
Tetapi sejak negara ditimpa pelbagai kegawatan, haru-biru -
daripada kononnya kaya merudum menjadi miskin disebabkan hutang, ketidakadilan,
nepotisme, kronisme, pelbagai kezaliman rohani dan jasmani dan melakukan
banyak kerosakan di muka bumi ini - barulah ramai orang mula
melihat di mana sebenarnya letak Kelantan dengan dasar Membangun Bersama
Islam yang nampak ‘miskin tetapi selesa’ dibandingkan dengan negeri-negeri
‘kaya tetapi gawat’.
Kegawatan ekonomi, politik dan isu keadilan yang melanda sekarang menyebabkan semakin ramai orang beralih untuk memerhati Kelantan, menjadikan Kelantan sebagai contoh tauladan kebaikan kepimpinan, pembangunan dan paling penting ertinya Islam sebagai kerajaan, sebagai negeri, sebagai pemimpin dan sebagai agama yang memberi rahmat ke seluruh alam.
Perkembangan ini menjadikan tanggungjawab rakyat, kepimpinan dan pentadbiran Kelantan menjadi semakin berat kerana sentiasa dalam peneropongan dan pengkajian banyak pihak. Semoga peneropongan dan pengkajian itu menerbitkan ganjaran-ganjaran baik bagi rakyat Kelantan di dunia dan di akhirat. Semoga antara ganjaran baik itu ialah Kelantan tidak lagi terasing dan bersendirian dalam melaksanakan Islam.
Cuma apa yang perlu diingati bahawa dalam setiap persoalan qada’ dan qadar’ Allah SWT. istilah ‘bala’ tidak dapat dipisahkan. Dalam ucapan yang dikatakan tadi, Tuan Guru menjelaskan bahawa ‘bala’ ialah percubaan daripada Allah. Dengan demikian, bala boleh merupakan kesenangan atau kesusahan. Sikap seseorang itu menyambut bala itu akan menentukan ganjaran-ganjaran yang akan diterimanya daripada Allah. Jika sikapnya jujur, ikhlas dan positif untuk menyerah dan patuh kepada ketentuan Allah dalam kehidupan ini sama ada ketika susah mahupun senang pastilah ganjaran yang diterimanya baik. Jika sikapnya negatif dan tidak mahu patuh atau tidak menyerah kepada ketentuan dan hukum-hukum Allah, dia akan menerima ganjaran buruk.
Semestinyalah antara sikap positif itu adalah sikap mahu merujuk semuanya kepada kehendak Allah sebagaimana yang jelas terbentang di dalam al-Quran dan Hadis bagi digunakan sepenuhnya untuk mengatur hidup manusia dalam menegakkan negara, mentadbir kerajaan, menentukan keadilan, mengangkat pemimpin, menambahkan keselesaan dan kesejahteraan hidup dan menghadapi musuh.
Dengan demikian, soal ganjaran baik bukanlah terletak pada hakikat kaya atau miskin, tetapi pada sejauh mana kepatuhan dan keikhlasan kepada Allah. Di sinilah sebenarnya kemenangan Islam.