DASAR Membangun Bersama Islam memberikan kesan yang lebih baik kepada hasil negeri Kerajaan PAS Kelantan dibandingkan dengan keluaran dalam negeri kasar (KDNK).
Pensyarah Sekolah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Encik Abd. Rahim Anuar, menyatakan demikian setelah melakukan satu kajian ilmiah yang saintifik terhadap kesan pelaksanaan Membangun Bersama Islam terhadap hasil negeri Kerajaan PAS Kelantan.
Kajian tersebut dibuat bersama-sama dengan Cik Azizah Mohd. Yusof.
Dengan melakukan perbandingan-perbandingan angka pertumbuhan dan hasil ekonomi negeri Kelantan sebelum dan setelah tahun 1990, pengkaji-pengkaji tersebut mendapati segala peraturan dan perundangan Islam yang dilaksanakan oleh Kerajaan PAS Kelantan memberi kesan positif terhadap hasil negeri secara langsung dan secara tidak langsung.
Mereka juga mencadangkan perundangan dan peraturan yang telah diperkenalkan atau dilaksanakan di peringkat Kerajaan Negeri Kelantan itu dikembangkan ke peringkat Persekutuan dan kekangan-kekangan undang-undang yang ada dihapuskan.
Ketika menjelaskan laporan kajian tersebut di majlis Wacana Islam dan Kemakmuran Ekonomi di Dewan Teratai Kota Darulnaim pada 16 Mac lalu, Abd. Rahim berkata sejak PAS memerintah Kelantan (sejak 1990), pentadbiran kewangan dan pembangunan telah menunjukkan kemantapan dan kestabilan.
Katanya, kajian yang dibuat menunjukkan bahawa KDNK Kelantan memberi
peningkatan kepada hasil jika diukur secara biasa tetapi kajian mendapati
pelaksanaan Islam dapat meningkatkan dengan lebih banyak lagi.
Menurut beliau beza antara pelaksanaan Islam dengan KDNK itu ialah
barakah daripada Allah dan tawakal kepada Allah.
Beliau mennggunakan hasil zakat sebagai indikator bagi mencerminkan kemakmuran ekonomi rakyat negeri ini dan ini merupakan barakah daripada Allah.
Katanya, ukuran melalui KDNK meninggikan angka hasil negeri tetapi dengan pelaksanaan Membangun Bersama Islam angka hasil negeri itu telah dianjakkan lebih tinggi lagi.
Menurut beliau dasar-dasar Membangun Bersama Islam yang diperkenalkan telah berjaya diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan mengikut konteks sosial, ekonomi, politik dan pentadbiran.
Menurut beliau aspek-aspek asas Membangun Bersama Islam telah diterjemahkan ke dalam bentuk perundangan dan pelaksanaan iaitu mempertahankan kehormatan kaum wanita, mewujudkan budaya sosial dan sivil yang bermoral, mewujudkan sistem ekonomi tanpa riba dan adil, memartabatkan amalan Islam dalam budaya kerja, memartabatkan amalan Islam dalam pentadbiran, dan menegakkan keadilan melalui perundangan Islam. Kesemua ini berteraskan kepada amalan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Katanya, kajian dibuat bagaimana pelaksanaan dan perundangan tersbut telah memberi impak kepada hasil negeri.
“Ini tidak boleh dipandang ringan sahaja,” tagas beliau.
Kemakmuran ekonomi Kelantan sejak PAS memerintah dapat dilihat pada pertambahan hasil yang disalurkan kepada zakat dan sedekah seperti yang diberikan kepada Tabung Serambi Mekah dan Tabung Tok Kenali bagi diagihkan lagi dengan lebih adil.
Dalam kajian saya saya menggunakan dasar Membangun Bersama Islam dari segi falsafah dan juga aspek yang diterjemahkan dari segi ekonomi, sosial dan politik dan impaknya kepada hasil negeri.
Dasar kewangan negeri yang berhemat dan cermat telah dilaksanakan sejak 1990 lagi dengan belanjawan berimbang dilaksanakan sejak itu.
Menyentuh tentang ucapan belanjawan Negeri Kelantan sejak PAS memerintah dimulakan dengan ayat al-Quran beliau berkata ini perlu diberi perhatian lebih dalam mentafsirkan surah tersebut dalam konteks pengurusan ekonomi negara.
“Surah-surah ini perlu dijadikan satu blueprint terutamanya dalam mengemukakan belanjawan cermat dan berhemat,” katanya.
Pihak kerajaan negeri perlu mentafsirkan dan mendokumenkan dengan lebih jelas lagi surah-surah tersebut dalam konteks dasar fiskal negeri dan sebagainya.
Yang pertama dalam strategi belanjawan ialah meningkatkan sistem pengumpulan kutipan hasil, pengawalan kadar pertumbuhan perbelanjaan mengurus dan pembangunan, penumpuan kepada projek untuk membantu golongan dhaif dan kebajikan sosial, dan peningkatan kemahiran pengurusan kewangan.
“Dasar-dasar pengurusan kewangan negeri dari segi strategi-strategi di atas telah stabil dan berkesan sehingga 1998.”
Bagi alaf mendatang beliau mencadangkan agar ditekankan strategi mengawal
rancangan pembangunan tanah dan sumber hutan, galakan kepada sektor pertanian
dan peningkatan pelaburan. Ini wajar dijalankan pada alaf baru.
Dalam mengemukakan perbandingan antara sebelum 1990 dengan selepas
1990, beliau berkata terdapat jurang perakaunan Kerajaan Kelantan yang
ketara.
Menurut beliau dalam masa kepimpinan Tuan Guru Dato’ HJaji Nik Abdul Aziz pernah terdapat lebihan atau surplus dalam akaun kerajaan manakala jurang purata defisit telah dapat dikurangkan dengan banyak apabila dibanding dengan sebelum 1990. Ini perlu ditinjau juga dari sudut Kerajaan PAS Kelantan sekarang membayar hutang kepada Kerajaan Pusat.
Beliau juga menegaskan bahawa selain konsep cermat dan berhemat dalam perbelanjaan, Kerajaan PAS Kelantan juga telah dapat memperolehi hasil terbanyak dari sumber yang sedikit.
Beliau memberi contoh bagaimana terjemahan daripada dasar membangun bersama Islam telah mengemukakan dasar tender terbuka, yang berbeza daripada dasar pemberian terpilih (selective) yang dilakukan sebelum ini, memberikan hasil yang banyak kepada negeri selain daripada ketelusan yang dikehendaki Islam.
Selain ini, beliau juga memberi contoh dasar pemberian tanah yang tanpa mengira fahaman politik memberi kesan kepada hasil kerajaan negeri kerana sebelum 1990 hasilnya cuma kira-kira RM 6 juta manakala selepas 1990 meningkat kepada RM 22 juta.
Beliau juga mencadangkan supaya dikaji kos berbanding dan kesannya kepada hasil kerajaan negeri dibuat terhadap bekalan air sekiranya diswastakan dan tidak diswastakan.
Menyentuh tentang pinjam-an beliau berkata ketika PAS mengambil alih pemerintahan pada tahun 1990, ada sebanyak RM726 juta tetapi sehingga tahun 1996 pinjaman ini telah disusutkan kepada RM686 juta dengan purata bayaran balik berjumlah RM23 juta berbanding dengan sebelum PAS meme-rintah purata bayaran balik RM5 juta sahaja.
“Yang penting sekali ialah Kerajaan PAS Kelantan telah membayar hutang setiap tahun kepada kerajaan Persekutuan dengan jumlah yang agak besar,” jelas beliau.
Sejak PAS memerintah, katanya lagi, kerajaan negeri cuba mengawal pinjaman, iaitu hanya RM0.01 juta sahaja pinjaman baru yang dibuat yang mana telah digunakan mengikut sepatutnya.
Bagaimanapun, beliau menambah, agensi kerajaan negeri seperti Perbadanan
Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) belum menjelaskan hutang melalui
Majlis-Majlis Daerah dan sebagainya kepada Kerajaan Negeri yang mana jumlahnya
pada tahun 1990 ialah sebanyak RM350 juta dan pada masa pemerintahan PAS
RM330 juta.
“Perlu ada usaha bersung-guh-sungguh pihak agensi kerajaan negeri ini
membayar hutang tersebut supaya Keraja-an Negeri mempercepatkan proses
pembayaran balik hutang kepada Persekutuan,” katanya.
Beliau mencadangkan agar Kerajaan Negeri memberi perha-tian yang lebih besar kepada ins-titusi zakat dan sedekah supaya institusi ini dapat dibangkitkan semula dengan lebih praktikal bagi mempertingkatkan hasil di samping mengurangkan beban kepada peringkat kewangan Kerajaan Negeri.
Katanya, Tabung Serambi Mekah, Tabung Tok Kenali dan Majlis Agama Islam perlu ada integrasi dalam mengurus dana awam.
Menyentuh tentang Desa Taqwa beliau mengatakan Desa Taqwa memberikan
penekanan kepada pembinaan insan dan projek ekonomi datang kemudian tidak
seperti pembangunan desa secara konvensional yang hanya mengemukakan projek
ekonomi sahaja.