PERUBAHAN bagi memberikan hak dan kuasa yang lebih adil kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri hanya akan dapat dilakukan sekiranya kerajaan di peringkat persekutuan diubah.
Ketua Jabatan Undang-Undang Awam Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Aziz Bari, berkata perubahan perlu dibuat kerana kedudukan kuasa yang ada di Malaysia antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah lucu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan kajian ilmiah yang saintifik terhadap kesan pelaksanaan Membangun Bersama Islam terhadap hasil negeri Kerajaan PAS Kelantan di majlis Wacana Islam dan Kemakmuran Ekonomi di Dewan Teratai, Kota Darulnaim, Kota Bharu pada 16 Mac lalu.
Kajian tersebut dilakukan oleh Pensyarah Sekolah Ekonomi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Encik Abd. Rahim Anuar dan Cik Azizh Mohd. Yusof. Di majlis itu, Abd. Rahim membentangkan laporan kajian dan diulas oleh tiga orang ahli panel.
Dr. Aziz memberi contoh bagaimana tanah sebenarnya berada di bawah kuasa negeri tetapi Kanun Tanah Negara dan Majlis Tanah Negara mempunyai kuasa di peringkat Persekutuan yang dapat mengekang kuasa negeri itu.
Contoh yang lain, tambah beliau, pihak berkuasa tempatan sepatutnya berada di bawah kuasa negeri tetapi adanya Akta Kerajaan Tempatan dan Kementerian berkenaan di peringkat pusat, banyak kuasa Kerajaan Negeri terhad.
Beliau menyarankan agar diadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan
sepertimana yang pernah dilakukan sebelum tahun 1969 supaya ketelusan dapat
berlaku sehingga di peringkat bawah dalam pentadbiran.
“Kekangan-kekangan ini hanya akan dapat berubah sekiranya didapatkan
kuasa di peringkat Persekutuan itu untuk meminda perlembagaan dan undang-undang
yang mengekang itu,” katanya.
Beliau menasihatkan supaya kerajaan negeri jangan melepaskan apa sahaja
kuasa yang masih sedia ada padanya.
Sebagai contoh, katanya, air terletak di bawah kuasa kerajaan negeri
tetapi tidak lama dulu Majlis Air Negara dibentuk manakala dari sudut lain
usaha-usaha menswastakan bekalan air dibuat yang dapat mengurangkan lagi
kuasa negeri.
Beliau juga menyorot tentang hutang yang banyak pihak badan berkanun
negeri pada kerajaan negeri kerana banyak badan berkanun kerajaan ditubuhkan
selepas 1970 untuk menjalankan pembangunan tetapi banyak yang menanggung
rugi kerana berlaku rasuah, tidak cekap, melibatkan perbelanjaan tinggi
dan sebagainya.
Menyentuh tentang penswastaan beliau berkata mesti ada kawalan yang
baik bidang mana yang patut diswastakan.
Dr. Aziz juga berkata ada rungutan-rungutan ahli-ahli perniagaan untuk mendapatkan tanah di Kelantan, tetapi beliau mempertahankan sikap Kerajaan Negeri yang lebih cenderung menjaga kepentingan rakyat terbanyak daripada melayani kehendak segelintir ahli perniagaan.