YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, menegur mereka yang membaca Surah al-Fatihah dengan harapan mendapatkan berkat daripada Allah.
Katanya, Surah al-Fatihah dibaca untuk mendapatkan hidayah.
“Mendapatkan hidayah daripada Allah adalah lebih penting,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di majlis Wacana Islam dan Kemakmuran Ekonomi di Dewan Teratai, Kota Darulnaim, Kota Bharu pada 16 Mac lalu.
Majlis wacana tersebut yang dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan merupakan pembentangan laporan kajian ilmiah ekonomi tentang kejayaan dasar-dasar Membangun Bersama Islam terhadap hasil Kerajaan Kelantan.
Kajian dilakukan oleh pensyarah Sekolah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM) Encik Abdul Rahim Anuar bersama Cik Azizah Mohd. Yusof.
Tuan Guru Dato’ Menteri Besar juga berkata pembentangan belanjawan negeri yang dilakukannya dimulakan dengan ayat dari al-Qur'an sebagai satu sumber hidayah.
Katanya, ayat-ayat al-Qur'an itu hendaklah dijadikan panduan dan dengannya juga boleh mengikat kerja-kerja kita agar tidak terkeluar dari apa yang telah ditetapkan Allah SWT.
Di majlis itu, pembentang laporan kajian, Encik Abdul Rahim Anuar mencadangkan
supaya ayat al-Qur'an yang dibaca ketika membuka ucapan belanjawan dibuat
tafsiran meluas yang mengaitkan dasar belanjawan itu.