Bagi sesetengah penyanjung sekularisme mungkin tidak ada cara lagi untuk menghentikan penghormatan kaum wanita terhadap kepimpinan Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, selain daripada memutarbelitkan kenyataannya hingga melahirkan unsur fitnah.
Setelah Kerajaan PAS Kelantan, sejak awal pemerintahannya, mendahului Kerajaan Pusat (dan juga kerajaan negeri-negeri lain di Malaysia) memberikan cuti bersalin selama 60 hari kepada kakitangan wanitanya, satu demi satu langkah membela dan memberi penghormatan kepada wanita dilakukan.
Baru-baru ini Tuan Guru Dato’ Menteri Besar menyuarakan hasratnya hendak melakukan pembelaan yang lebih jauh lagi bagi kaum wanita yang bekerja, sekurang-kurangnya untuk kakitangan wanita yang di bawah tadbirannya. Beliau meminta ahli-ahli akademik dan pakar-pakar mengkaji bagaimana hendak meringankan beban tugas wanita terutamanya ibu-ibu yang berada di dalam dua keadaan. Pertama, ibu itu sebagai pekerja atau kakitangan yang mencari nafkah. Kedua, ibu itu sebagai suri rumah yang dari segi fitrahnya terpaksa melaksanakan tugas harian rumah tangga dan mendidik anak.
Persoalan ini bukanlah baru tetapi di negara kita tidak begitu diambil perhatian oleh golongan kepimpinan dan dasar-dasar negara yang sekular. Tuan Guru Dato’ Menteri Besar, ketika berucap di majlis Wacana Islam dan Kemakmuran Ekonomi yang diadakan di Dewan Teratai Kota Darulnaim 16 Mac lalu, berkata bahawa di Eropah masalah ibu bekerja mendapat perhatian besar. Ini kerana mereka telah merasakan akibat dan kesan sampingan terutamanya penyakit sosial daripada gejala ibu bekerja tetapi mengabaikan rumah tangga. Apa yang berlaku di Eropah itu sebenarnya sedang dihadapi sama di Malaysia. Tetapi oleh kerana kerajaan dan kepimpinan sekular di negara ini mempunyai agenda-agenda memperalatkan kaum wanita untuk kepentingan sendiri, masalah ini dijadikan seperti bangkai gajah yang ditutup dengan nyiru.
Semakin jelas kini, ramai kaum wanita tertarik dengan langkah-langkah berani oleh kepimpinan Menteri Besar Kelantan untuk membela kaum wanita yang bekerja. Pembelaan itu adalah berdasarkan kepada kehendak dan nilai Islam, satu-satunya agama yang memberikan penghormatan yang tinggi kepada wanita. Sebaliknya, langkah-langkah ini semakin tidak disenangi oleh kaum sekular yang mempunyai agenda-agenda tertentu untuk memperhamba atau memperalatkan wanita.
Maka apa yang telah diperkatakan di akhbar-akhbar harian bahawa Tuan Guru Dato’ Menteri Besar (sebagai suara daripada PAS) ‘mahu mengkaji melarang wanita bekerja’ adalah berupa usaha menterbalikkan sikap wanita menyokong Tuan Guru kepada sikap membecinya. Pendokong sekularisme ini mahu mengekalkan kejahilan kaum wanita zaman ini terhadap nilai harga diri dan kehormatan sebenar bagi wanita mengikut ajaran Islam. Di samping itu sentimen kaum wanita memperjuangkan persamaan hak dengan lelaki bertopengkan pembebasan wanita mengikut nafsu puak sekularisme ini digembar-gemburkan. Pada pandangan yang lebih jauh, tujuan sebenar mereka adalah untuk memperhambakan sebahagian besar kaum wanita di bawah sistem kepenggunaan dan penindasan kapitalisme. Tetapi pandangan dekat adalah lebih jelas, iaitu, melihat wanita sebagai pengundi dalam sistem demokrasi dan pilihan raya.
Wanita sebagai pengundi dalam pilihan raya negara ini berjumlah lebih separuh. Ini bererti wanita amat penting bagi menentukan siapa yang patut berkuasa dalam politik dan pemerintahan. Oleh itu, di akhbar harian baru-baru ini, dengan membesarkan perkataan ‘melarang kaum wanita bekerja’ sebagai kepala berita tentang ucapan tersebut di samping isinya juga menyebut ‘membela atau meringankan beban wanita bekerja’ dapat dibaca tujuannya untuk mencipta kekeliruan yang kelak memburukkan imej dan pengaruh Menteri Besar Kelantan ini. Dengannya juga dapat mentohamhkan beliau dan jamaahnya sebagai pelampau untuk ditakuti atau dijauhi oleh wanita dan rakyat negara ini.
Bagaimanapun kita berharap ramai wanita semakin sedar siapa pembela
mereka sebenarnya, semakin tahu tentang penghormatan Islam kepada mereka
dan semakin jelas tentang siapa pelampau. Pengundi wanita akan menggunakan
kuasa undi untuk menolak golongan sekular itu dan menyokong perjuangan
Islam bagi meninggikan martabat dan kehormatan wanita.