PUNCA pendapatan negeri boleh hilang sekiranya peneroka-peneroka haram di tanah hutan tidak menghentikan usaha mereka, kata Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Beliau mengingatkan mereka supaya menghentikan kegiatan meneroka hutan secara haram kerana ini menjejaskan sumber hutan yang merupakan sumber utama negeri.
Berucap ketika merasmikan tapak ladang kelapa sawit milik Syarikat Sungai Relai Sdn. Bhd. di Ciku, Gua Musang 5 Mac lalu, Tuan Guru Dato’ Menteri Besar menegaskan peneroka-peneroka terbabit bukan sahaja melanggar peraturan di dunia tetapi juga akan dipersoal di akhirat kelak.
“Pokok-pokok balak yang terdapat di kawasan yang diteroka secara haram
ditebang sewenang-wenangnya. Po-kok-pokok itu juga dibakar begitu sahaja
menyebabkan kerugian dan pemus-nahan kayu balak yang jumlahnya tidak kecil,”
katanya sambil mengingatkan mereka menghentikan penerokaan haram itu.
Tuan Guru Dato’ Menteri Besar juga menyeru rakyat Kelantan merebut
peluang pekerjaan yang sedia ada di negeri ini di dalam sektor perladangan
dan perindustian tanpa mengharapkan kerja-kerja itu dibuat oleh pekerja
asing.
Beliau mahukan sikap rakyat Kelantan suka merantau mencari pekerjaan di negeri lain diubah kerana peluang pekerjaan yang baik dan sama tarafnya memang terdapat di Kelantan.
Menurut beliau sektor perladangan di negeri ini sekarang terpaksa menggu-nakan pekerja asing akibat kekurangan tenaga kerja tempatan yang berminat.
Katanya lagi, gejala sebegini tidak boleh diteruskan kerana tidak menguntungkan selain daripada boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah termasuk masalah sosial.
Beliau menggesa rakyat Kelantan merebut peluang mengisi tempat kerja di sektor perladangan yang banyak terdapat di negeri ini di samping melibatkan diri membangunkan negeri sendiri.