KERAJAAN PAS Kelantan telah dapat mewujudkan hubungan yang positif di antara hasil negeri dengan amalan Islam walaupun berada di tengah-tengah kekangan peraturan dan undang-undang negara yang dikuasai Kerajaan Pusat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pulai Chondong, YB Haji Zulkifli Mamat berkata, ini meyakinkan Kelantan untuk terus menerus kekal dengan dasar ini kerana dasar ini tidak hanya sekadar mempertahankan KDNK negara dan kesejahteraan rakyat malah membuat satu anjakan yang meletakkan Islam di atas bukan di bawah dalam mengukur kejayaan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kajian ilmiah yang saintifik terhadap kesan pelaksanaan Membangun Bersama Islam terhadap hasil negeri Kerajaan PAS Kelantan di majlis Wacana Islam dan Kemakmuran Ekonomi di Dewan Teratai, Kota Darulnaim, Kota Bharu pada 16 Mac lalu.
Kajian tersebut dilakukan oleh Pensyarah Sekolah Ekonomi, Universiti
Utara Malaysia (UUA), Encik Abd. Rahim Anuar dan Cik Azizh Mohd. Yusof.
Di majlis itu, Abd. Rahim membentangkan laporan kajian dan diulas oleh
tiga orang ahli panel.
Katanya, walaupun kerajaan negeri tidak berkuasa untuk menentukan dasar
kewangan dan dasar fiskal negara, tetapi terpaksa mengikut arahan perbendaharaan
dan pekeliling perbendaharaan negara.
“Apa yang kita lakukan dalam kerajaan negeri merupakan kreativiti yang
cukup baik di tengah-tengah kekangan yang ada, iaitu kekangan yang bukan
daripada ekonomi Islam,” katanya.
Daripada keadaan ini boleh kita sebut apa boleh kita lihat kalau kita
memerintah Malaysia.
“Ini merupakan satu batu lonjakan yang baik untuk kita meyakinkan rakyat
bahawa jika kita memerintah Malaysia, ini akan diteruskan untuk ekonomi
negara dapat diterjemahkan dan diolah oleh dasar Islam, hasil negara juga
akan menjadi lebih baik dan rakyat akan menerima kemakmuran itu dengan
hebatnya.”
Mengutip daripada hasil kajian tersebut beliau berkata hasil padi jelas sekali menunjukkan kemakmuran yang dicapai kerana zakat padi telah meningkat dengan banyak.
Sekularisme memang tidak menjamin kebaikan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara dari belakang kerana sudah terbukti Islam memberikan kesejahteraan itu.
Belanjawan negara tidak mengambil nilai agama sebagai satu perkiraan
dalam kewangan negara.
Daripada kajian yang dibuat membuktikan kepada kita dengan Islam kemakmuran
ekonomi bertambah.
Hasil daripada pelaksanaan tadi, setiap defisit tahunan yang dijangka
dalam belanjawan sebenarnya berlaku jauh kurang ketika dilaksanakan dengan
cermat dan berhemah sedangkan di negeri lain kemungkinannya defisit itu
semakin besar.
Beliau menegaskan bahawa tohmah-tohmahan yang disebut-sebut oleh menteri-menteri
dan sesetengah pentadbir bahawa dengan Islam ekonomi akan mundur kini dapat
disanggah melalui laporan kajian ini.
Mengenai kajian yang dibuat beliau menyifatkannya sebagai longgokan
emas yang dihadiahkan bagi membuktikan dasar-dasar Islam yang dilaksanakan
oleh Kerajaan Negeri berjaya memberikan hasil kepada ekonomi dan kesejahteraan
rakyat.
Kajian itu merupakan hujjah yang dapat dilihat mengenai kebaikan Islam
dalam menguruskan ekonomi khususnya kewangan negara.