MB kemuka tiga cadangan dapatkan kepakaran Jepun

TIGA cadangan dikemukakan bagi Jepun memberikan kepakarannya dan melibatkan diri dalam projek-projek ekonomi di Kelantan.

Ketiga-tiga cadangan itu berhubung dengan perikanan di Tok Bali, cegahan makhluk perosak di kebun buah-buahan dan tanaman ganti bagi tembakau.

Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, mengemukakan cadangan-cadangan itu melalui Konsul Besar Jepun, Yoshihiro Nose, yang melakukan kunjungan hormat di Pejabat Menteri Besar pada 29 Jun lalu.

Ketika mengemukakan ca-dangan-cadangan itu, Tuan Guru Dato’ Menteri Besar mempelawa Jepun melibatkan diri di dalam perusahaan perikanan laut dalam yang berpangkalan di Tok Bali.

Penglibatan Jepun boleh dilakukan dari segi bantuan teknikal, pelaburan atau penyertaan bagi memajukan Tok Bali sebagai pangkalan perikanan laut dalam  yang utama di Laut China Selatan.

Selain itu  beliau meminta Jepun membantu Kelantan dengan mengemukakan tanaman alternatif bagi tembakau.

Tembakau merupakan hasil utama kepada penududk beberapa jajahan di Kelantan, terutamanya di Bachok tetapi memandangkan perusahaan tembakau tidak boleh digalakkan kerana hasilnya lebih mendatangkan mudarat kepada manusia, maka Kerajaan Kelantan sejak beberapa tahun lalu berhasrat menggantikannya dengan tanaman lain.

Tuan Guru Dato’ Menteri Besar juga meminta jasa baik Jepun memberi khidmat kepakaran kepada pekebun-pekebun dokong di Kelantan menerusi Jabatan Pertanian Negeri.

Dokong yang merupakan hasil buahan utama Kelantan sering kali menghadapi serangan ulat perosak yang sukar dihapuskan.

Yoshihiro Nose berkata hasrat Menteri Besar itu akan disampaikannya kepada pihak kedutaan Jepun.  Beliau juga meminta pihak Kerajaan Negeri Kelantan mengemukakan permohonan dan cadangan kepada pihak kedutaannya di negara ini.

Beliau memberitahu, di Kedutaan Jepun, memang ada pegawai attache pertanian yang dapat mempertimbangkan secara terperinci permintaan Kerajaan Kelantan itu.

Yoshihiro yang berpejabat di Pulau Pinang mula berkhidmat di negara ini dalam bulan Julai tahun lalu dan tugasnya meliputi enam negeri di Semenanjung Malaysia.

Menurut Yoshihiro, nama Kota Bharu menjadi sebutan ramai rakyat Jepun sungguhpun mereka sendiri tidak tahu di mana letaknya Kota Bharu.

Beliau juga menyatakan ura-ura pihak-pihak tertentu hendak menjadikan Kota Bharu sebagai bandar berkembar dengan sebuah bandar raya di Jepun patut diteruskan.
Ketika di Kota Bharu beliau mengambil kesempatan menemui pekerja-pekerja rakyat Jepun di sini.

Katanya, rakyat Jepun yang bekerja di Kelantan menyatakan rasa gembira dan selesa berada di negeri ini dan mengucapkan terima kasih atas layanan-layanan yang diterima daripada rakyat dan Kerajaan Kelantan.

Ahli Exco, YB Haji Hassan Abdullah, turut serta dalam pertemuan dengan Konsul Besar Jepun itu.