Make your own free website on Tripod.com
Dari Pengarang

BERMULA ERA MAKLUMAT

 Era bermaklumat bermakna suatu tempoh masa yang mendedahkan pelbagai informasi. Oleh itu, seseorang individu bermaklumat ialah seseorang yang mempunyai cukup pengetahuan "informasi" dalam sesuatu perkara. Kini masyarakat telah tidak  terasing dengan maklumat. Banyak sumber maklumat yang menguasai gelagat hidup, sesetengah maklumat itu telah mempengaruhi budaya hidup seharian. Betapa ramai manusia memulakan hidup harian dengan menatap akhbar, menonton siaran TV, mendengar berita radio atau menerokai internet.

 Apa yang ditegaskan oleh Ustaz Harun Taib, Ketua Ulama' PAS Pusat adalah benar. Menurutnya, "Umum mengetahui bahawa suasana dunia hari ini sudah jauh berubah jika dibandingkan sepuluh atau lima belas tahun yang lalu. Perubahan yang berlaku meliputi semua aspek kehidupan sama ada cara berfikir, cara berhubung, cara bergerak, cara bermu'amalat dan sebagainya. Dunia yang selama ini dikatakan luas sudah boleh dijangkaui dengan sekelip mata sahaja. Tempat yang sebelum ini kita belum pernah mendengar namanya akan menjelma di hadapan mata kita melalui monitor komputer dengan hanya menggerakkan beberapa hujung jari sahaja".

 Dalam hal ini tepat sekali kenyataan Jaafar Abdul Rahim dari Dewan Bahasa dan Pustaka, "Kita sedang berada di dalam suatu zaman, zaman yang dinamakan zaman bermaklumat. Zaman ini diperkuat lagi dengan adanya alat-alat teknologi yang bukan sahaja menyebar maklumat malah memproseskannya dengan cara cukup canggih.... Ruang kehidupan iaitu tidak lagi terbatas kepada ruang yang tradisional dalam erti kata orang dapat berhubung dengan secara bersemuka sahaja malah sudah dikuasai oleh ruang pemimpin maklumat yang dinamakan siber ruang (cyber space) maka ramai individu telah terdedah dengan teknologi maklumat, iaitu teknologi yang mendukung maklumat dengan segala macam ragamnya, dengan segala macam perkakas penyebar maklumatnya, memudahkan kita memperoleh, menyebar luas malah mengurus maklumat dengan cara yang canggih".

Sehubungan dengan itu Ustaz Abdul Ghani Shamsudin dari Persatuan Ulama' Malaysia meramalkan, "Pada masa depan umat Islam akan berhadapan dengan perkembangan arus globalisasi baru yang lebih mencabar seperti internet TV dimana interactive broadcasting service akan dilancarkan. Dengan sistem ini manusia boleh mengirimkan halaman web kepada set TV melalui frequency dengan menggunakan antena TV datalast.

 Kemajuan teknologi maklumat jelas mendorong manusia terus bermaklumat. Bahasa masa kini adalah era IT (information technology era). Lantas itu, ia memberi tanggapan semua urusan hidup manusia tak boleh lari daripada teknologi maklumat. Jesteru itulah, umat Islam secara global mestilah terlibat dan menguasai sama arus bermaklumat dan memanfaatkan segala perkembangan baru dalam era bermaklumat itu. Dalam konteks ini, kemunculan majalah Ad-Din amatlah tepat untuk menyahut cabaran IT. Lantaran itu, ia merupakan suatu saluran memaklumatkan ahli-ahli jema'ah Islam dalam pelbagai isu semasa.

 Ad-Din bermaksud jalan hidup, cara kehidupan dengan beragama atau agama. Kemunculan majalah Ad-Din sudah tentu akan menambahkan koleksi maklumat, meskipun ahli jama'ah sekelian telah banyak terdedah dan mendedah diri dengan pelbagai macam ragam maklumat. Jelas sekali, ahli jama'ah telahpun bermaklumat. Apa yang penting adalah Ad-Din akan menambahkan lagi sumber era bermaklumat di kalangan ahli PAS.

 Memperkenal Ad-Din bukanlah aspirasi baru tetapi ia meneruskan usaha secara langsung melalui bahan bacaan agar ia akan menjadi sumber mematangkan komitmen ahli PAS kepada jama'ah. Lantas itu, Sidang  Pengarang mengalu-alukan sebarang tunjuk ajar bagi membina keunggulan Ad-Din pada masa-masa hadapan.

Ketua Pengarang.