Make your own free website on Tripod.com
ORANG KELANTAN KUAT MAIN POLITIK
Oleh: Drs Saiful Bahrin Mohamad.

BAHAGIAN I

         unia perpolitikan di Kelantan tidak pernah  sepi, sekali isu melanda geloranya semakin membadai.  Di mana-mana sahaja bicara  politik akan kedengaran baik di desa-desa maupun di bandar-bandar, dari rakyat bawahan sampailah keperingkat rakyat atasan. Semuanya yang berlaku itu ada motif yang tertentu; motif tersirat dan tersurat.

 Kelantan yang mendapat nama jolokan Serambi Mekah di abad kesebelas Masehi, terkenal sebagai gedung ilmu Islam dan negeri tadahan Wahyu. Sehinggakan ramai rakyat Kelantan terdiri daripada ahli ibadah dan ahli makrifah yang melahirkan ramai ulamak yang mempunyai semangat    kasihkan agama, bangsa dan tanahair serta mempunyai kefahaman politik.

 Fahaman politik orang Kelantan banyak dipengaruhi oleh latar belakang pendidikan  mereka. Ramai kalangan orang Kelantan berpendidikan Islam. Mereka mendapat pendidikan itu sama ada secara formal ataupun tidak formal. Bagi mereka yang mempunyai pendidikan Islam, parti PAS menjadi pilihan sebagai wadah perjuangan dengan tidak menafikan sebahagian daripadanya ada yang berlatar belakangkan pendidikan sekular.

PAS dan Umno

 Sejarah politik Kelantan adalah PAS dan Umno merupakan dua parti yang mendominasikan fahaman politik orang Kelantan. Ini menyebabkan kelahiran parti-parti lain tidak mendapat sokongan, kalaupun ada sokongan hanya sebahagian kecil sahaja. Meskipun begitu, prinsip demokrasi di negara ini tetap memberikan kebebasan kepada orang Kelantan bagi menentukan kuasa politik dan bentuk pemerintahan di negeri ini.

 Tidak terlalu keterlaluan jika dikatakan orang Kelantan kuat berpolitik. Ini jelas dapat dilihat bahawa orang Kelantan sudah beberapa kali menukar bentuk kerajaan mereka. Dalam pilihan raya pra-merdeka pada 27 Julai 1955, Perikatan diberi mandat penuh, tetapi dalam pilihan raya pertama selepas merdeka pada Ogos 1959, PAS telah diberi mandat untuk menerajui kerajaan Kelantan apabila menang besar, iaitu 28 kerusi daripada 30 kerusi yang dipertandingkan.

Dimageran

 Kemudian pada tahun 1978, kerajaan PAS Kelantan telah dimagerankan ekoran krisis dalaman yang dicetuskan oleh perancangan Umno, maka telah membawa kepada pilihan raya khusus negeri Kelantan pada 11 Mac 1978. Barisan Nasional telah berjaya menerima mandat kali kedua menerajui kerajaan Negeri dengan PAS hanya mampu bertahan di dua kerusi; satu di Sering dan satu lagi di Manek Urai.

 Meskipun begitu hasrat orang Kelantan memilih kerajaan Barisan Nasional adalah untuk membangun dan maju. Hasrat ini, jelas sekali tidaklah ke mana. Harapan orang Kelantan kepada janji pemimpin Umno mengatasi kemelut pembangunan dan kemiskinan rakyat sebagaimana dijanjikan jelas tidak kesampaian. Justeru itu, berlakunya krisis keyakinan hampir keseluruhan orang Kelantan terhadap kerajaan Barisan Nasional. Lantaran itu, dalam pilihan raya 21 Oktober 1990, sekali lagi orang Kelantan mengambil sikap mengubah kepimpinan kerajaan negerinya dari Barisan Nasional kepada Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Dalam pilihan raya itu, Angkatan telah berjaya merampas kesemua kerusi yang dipertadingkan, iaitu 39 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 13 kerusi Parlimen.

 Kemenangan Angkatan di Kelantan pada tahun 1990 cukup bermakna. Rakyat Kelantan telah dilihat bersatu di bawah kepimpinan ulamak yang menawarkan konsep politik "Membangun Bersama Islam" dan berprinsipkan "Islam sebagai Ad-din". Apa yang penting di sebalik perubahan kerajaan Barisan Nasional kepada Angkatan adalah mengandungi harapan hampir keseluruhan orang Kelantan terhadap misi perpaduan dan pembangunan yang berteraskan Islam. Ia juga secara tersirat bermakna kemenangan kepada PAS yang telah 12 tahun mempertingkatkan misi dakwah politik Islam dalam masyarakat.  Maka rakyat Kelantan telah menyahut seruan perjuangan PAS dengan membuktikan Ketua Dewan Ulamak PAS, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz terpilih sebagai Menteri Besar. Harapan itu jelas termakbul, tatkala kemenangan itu dikongsi bersama dengan beberapa bekas pemimpin Umno yang dulunya (tahun 1978) bersubhat menjatuhkan PAS di Kelantan yang kini (pada pilihan raya 1990) telah berpadu dengan PAS menghadapi Barisan Nasional. Betapa orang Kelantan telah tahu, peranan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) ketika PAS bersama-sama dalam Barisan Nasional dan semasa PAS dilanda krisis.

Kembalinya Ku Li

 Oleh hal yang demikian, orang Kelantan dengan penuh kekagetan ingin melihat benar-benar "kembalinya Ku Li" berperanan untuk menunjuk baik kepada PAS dan orang Kelantan, setelah gagal dengan misi pembangunannya ketika merampas Kelantan dari PAS tahun 1978 dulu. Namun yang terjadi, bukanlah seumpama yang diimpikan! Perubahan dan perpaduan yang diharapkan terlerai di perjalanan. Hanya sepenggal pilihan raya Ku Li boleh bersabar. Kerenah lama Ku Li menjadi-jadi semula selepas lima tahun bersama-sama PAS. Ku Li telah kembali semula kepada Umno dan berkongsi kuasa dalam kerajaan Barisan Nasional.

 Namun tidaklah orang Kelantan kecewa dengan pendirian dan kerenah Ku Li itu, malah ramai juga yang bersyukur lantaran telah memberi laluan murni bagi Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz dan PAS secara umumnya mengurus negeri Kelantan. Hakikat ini terserlah daripada beberapa usaha pihak tertentu yang cuba mempengaruhi orang Kelantan supaya menolak PAS dan membenci kepimpinan Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz, tetapi kesemua usaha kerenat itu gagal di hati rakyat. Apa yang berlaku orang Kelantan tetap setia dengan PAS dan terus menyokong kepimpinan Taun Guru Hj
Nik Abdul Aziz.

 Apakah hakikat yang terjadi lantaran orang Kelantan kuat berpolitik? Mungkin perkara itu "ya", tetapi yang nyata orang Kelantan ada sikap yang unik dalam menilai isu-isu politik yang melibatkan dirinya, negerinya dan pemimpinnya, hatta terhadap rajanya.

 Meskipun begitu, sejarah silih ganti kerajaan di Kelantan telah dilihat oleh pengkaji politik tanah air sebagai menandakan rakyat Kelantan matang  berpolitik dan terlalu peka dengan isu-isu semasa serta sanggup mengubah haluan fahaman politik mereka.

 Namun demikian, bukan semua pendapat tersebut boleh diterima umum. Berdasarkan kewujudan pelbagai parti politik di Kelantan sejak merdeka sehingga pilihan raya 1995 lalu ia adalah suatu manifestasi daripada pemikiran politik orang Kelantan. Meskipun tidak dapat dinafikan bahawa kewujudan parti-parti politik (selain PAS dan Umno) adalah sebenarnya kerana pengaruh semasa pemimpin politik yang bermasalah sahaja. Konflik dalaman sesebuah parti menyebabkan tumbuhnya parti-parti politik kecil yang boleh dianggap sebagai parti serpihan seperti Berjasa, Hamim, Semangat 46 dan Akim. Namun parti-parti serpihan ini hanya mendapat tempat di hati orang Kelantan dalam tempoh sebentar sahaja, dan parti-parti serpihan ini hanyalah berorientasikan musim pilihan raya semata.

Pemimpin dari luar

 Bagi setengah pihak pula melihat dan melabelkan orang Kelantan sebagai bersikap kedaerahan (Parochialism). Mungkin label yang diberikan itu agak negatif pada pandangan orang Kelantan sendiri atau mungkin keterlaluan jika dianalisis dari sudut sejarah dan pengalaman PAS sebagai sebuah parti Islam yang memperjuangkan dasar yang universal. Ini  adalah kerana sejarah politik Kelantan terbukti orang Kelantan (khususnya orang PAS) mudah menerima pemimpin politik dari luar sebagai wakil rakyat mereka. Prof Zulkifli Mohamad, Abu Bakar Hamzah, Haji Othman Abdullah dan  yang terbaru Mohamad Sabu dari Pulau Pinang dan Dr Daeng Sanusi  Mariok dari Johor adalah di antara yang berjaya memasuki Dewan Rakyat melalui pemilihan rakyat Kelantan. Kalaulah benar orang Kelantan bersifat kedaerahan sudah semestinya Dr. Daeng Sanusi dan Mohamad Sabu, kedua-duanya dari PAS tidak akan dipilih, mereka sudah tentu akan memilih Husin Ahmad dan Annuar Musa sebagai wakil rakyat mereka kerana mereka berdua adalah anak Kelantan jati.

 Oleh hal yang demikian, tidaklah berbangkit isu orang Kelantan terlalu berpolitik atau kedaerahan dalam berpolitik. Penting sekali bagi melihat orang Kelantan adalah sejauh mana prinsip dan dasar yang dipegang oleh seseorang pemimpin dalam konteks pengharapan masyarakat terhadapnya. Pernah orang Kelantan (orang PAS) menolak kepimpinan Dato' Asri Haji Muda daripada bertanding di kerusi parlimen Kelantan dan terpaksa bertanding di Kedah. Sebaliknya orang Kelantan bersedia menerima mana-mana pemimpin yang boleh dipercayai berdasarkan harapan dan ketokohan seseorang pemimpin itu. Misalnya dalam perlantikan Senator, pernah Ustaz Amaluddin Darus dari Kedah dilantik sebagai senator (tahun 1965) mewakili negeri Kelantan dan yang terbaru adalah Ustazah Jamilah Ibrahim telah berasal dari Kedah juga dilantik sebagai senator. Tegas sekali, orang Kelantan tidak melihat negeri asal seseorang untuk diterima sebagai pemimpin, tetapi melihat kepada dasar perjuangannya. Jelas di sini, betapa sikap politik orang Kelantan bukanlah parochialism sebaliknya adalah fundamentalism, iaitu  bermaksud sikap yang nazari, yang mengutamakan dasar pokok dan prinsip dalam perjuangan politik.

Politik Kelas Berat

 Orang Kelantan memang tidak tepat dikatakan sebagai mengamalkan politik kedaerahan. Meskipun begitu, mungkin tepat jika dikatakan orang Kelantan adalah pecandu politik kelas berat. Hakikat ini berdasarkan pengamatan dan keterlibatan harian orang Kelantan yang boleh dikatakan di mana-mana sahaja bicara politik akan kedengaran bermula daripada keluarga di rumah, kedai kopi, stesyen kereta dan bas, di anjung masjid dan di pejabat-pejabat.

 Sebenarnya hakikat itu berlaku lantaran sepanjang masa, sama ada ketika Barisan Nasional memerintah maupun sekarang ketika zaman PAS, memang ada-ada saja modal politik dan isu-isu semasa yang panas tercetus akibat suasana politik semasa. Misalnya, pada masa PAS memerintah Kelantan dalam tempoh 1959-78 dulu, pernah berbangkit soal hubungan tidak harmoni pihak kerajaan dengan istana dan pernah juga berbangkit hubungan tidak baik dengan pihak pentadbir. Meskipun begitu, pihak Barisan Nasional tidaklah melihat isu itu sebagai modal politik mereka yang utama dalam usaha untuk menjatuhkan PAS tahun 1978. Pemimpin Umno memang sedar isu-isu itu hampir tak kering dibicarakan. Namun menjelang kejatuhan PAS isu yang berkaitan dengan kejujuran dan tanggungjawab, seperti isu jual balak dan tanah yang diutarakan sebagai kempen. Kenapa itu terjadi adalah kerana orang Kelantan tidak melihat isu istana dan pegawai itu sebagai yang berkait dengan prinsip dan dasar perjuangan tokoh atau parti (fundamental). Sebaliknya isu jual balak dan tanah merupakan amanah dan tanggungjawab yang secara langsung menyentuh persoalan kepentingan rakyat umum. Pada mereka isu sebegitu adalah nazari yang perlu rakyat membuat penilaian semula kepada kepimpinan yang ada. Justeru itulah, kekalahan Barisan Nasional tahun 1990 merupakan persoalan prinsip dan dasar perjuangan, bila mana kepimpinan Umno pada masa itu berjaya didedahkan sebagai mempraktiskan kemungkaran politik dan penyelewengan kuasa pemimpin terhadap rakyat, tatkala kegagalan mereka menganjak taraf pembangunan dan hidup orang Kelantan melepasi garis kemajuan yang diharap-harapkan sebagaimana janji mereka pada tahun 1978 dulu.

 Justeru itu, adalah menjadi biasa jika isu-isu politik semasa berlaku panas di Kelantan, tetapi sokongan rakyat terhadap kerajaan tetap kukuh. Melainkan jika isu tersebut benar-benar membawa kerugian kepada rakyat.  Isu-isu seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri dikatakan berpolitik,  pegawai tadbir berpolitik atau menentang kerajaan, atau isu-isu berkaitan istana; semuanya tidak mungkin menjejas pengaruh kerajaan di hati rakyat. Lantaran isu-isu ini adalah biasa dalam pemikiran orang Kelantan.

Orang Kelantan di bawah PAS

 Pada September 1996, rasminya Semangat 46 dibubarkan, PAS pula dengan rasminya mentadbir kerajaan Negeri bersendirian meskipun masih dalam semangat kerajaan Angkatan. Sikap  kebanyakan orang Kelantan pada masa itu adalah tunggu dan lihat di sebalik persoalan, benarkah kerajaan Angkatan akan jatuh dan akan menyerah kuasa kepada Umno dan bekas pemimpin Semangat 46 akan kembali berkuasa bersama-sama Barisan Nasional?

 Lipatan sejarah terbukti benar! orang Kelantan tidak mudah diperbodohkan oleh suara sumbang bekas pemimpin Semangat 46 yang saban hari mengutuk dan mencaci kepimpinan Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz, selaku Menteri Besar dan beberapa pemimpin PAS yang lain. Orang Kelantan faham benar sikap bermuka-muka bekas pemimpin Semangat 46 itu. Oleh itu, segala tohmahan dan kritikan tidak ikhlas mereka dapat dibaca awal oleh rakyat. Kali ini,  orang Kelantan tidak mudah terpedaya kerana mereka sudah jilah, kenal laut darat dan sudah pasti siapa sebenar bekas pemimpin Semangat 46.

 Kebalikan daripada itu, rata-rata orang Kelantan telah menaruh simpati kepada Tuan Guru Menteri Besar yang dikatakan menempuh banyak kerumitan dalam menjalankan tugas dek kerenah pemimpin-pemimpin tertentu dari bekas sahabat, yang berjuang membentuk kerajaan Angkatan suatu ketika dulu. Lantaran itu, banyak rahmat telah dirasai oleh orang Kelantan sebaik sahaja PAS bersendirian mentadbir negeri. Pelabur mula memberi perhatian serius terhadap peluang pelaburan di Kelantan. Hubungan kerajaan Pusat-kerajaan Negeri makin mesra. Kemelut kewangan kerajaan Negeri dapat diselesai. Imej boros dan mewah sebuah kerajaan sudah bersih. Tinggal lagi pemimpin PAS meneruskan lagi amanah dan tanggungjawab rakyat demi kepentingan agama, negeri dan umat Islam.  Apa yang diharapkan adalah  sokongan terus meningkat kepada kerajaan negeri dan PAS, dengan izin Allah.

Deklarasi Rakyat

 Sebenarnya sikap orang Kelantan adalah menentang segala kemungkaran politik dan usaha-usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri  pimpinan ulamak.  Sebagaimana tergambar dalam deklarasi rakyat Kelantan semasa Perhimpunan  Rakyat Kelantan pada 23 April 1995 di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu :

Bahawasanya, kami rakyat Kelantan
Sedar
Televisyen dan akhbar kamu, menipu kami
Kamu siarkan berita berat sebelah
Kamu menggelapkan berita benar
kami sedar kamu mahu memancing dan membeli kami
Tidak akan kami menjual negeri kami
Tidak akan kami gadai Islam kami,
Sedarlah kamu,
Kamu kelirukan agama
Kamu peralatkan tokoh agama seperti terompah kayu
Kamu tolak hudud
Kamu perlekehkan agama
Kamu persendakan ulamak
Kamu paksa tokoh koporat tawan hati kami
dengan gula-gula ekonomi
Awas  !
kami tidak bodoh
kami tidak bodoh
kami tidak bodoh
kata apa yang hendak kamu kata
perkosa televisyen dan akhbar sepuas nafsu kamu
kami akan tetap dengan pendirian kami
Islam cara hidup kami
Al-Quran panduan kami
Ya Allah Ya Tuhan kami
Berikan kemenangan kepada orang-orang Islam
Binasakan musuh Islam, Penentang agamaMu
Pecah belahkan kesatuan mereka
Belenggukan mereka
Ya Allah Ya Tuhan Kami
Tetapkan kami dengan Islam
Matikan kami semua sebagai sholihin.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Kekecuhan dalam Umno

 Kini PAS kian mendapat sambutan di kalangan orang Kelantan, malah di seluruh negara. Pemerhati politik pula melihat betapa kekecuhan berlaku dalam kepimpinan Umno Kelantan. Krisis kepercayaan semakin menular di kalangan kepimpinan atasan dan pertengahan parti itu. Perebutan jawatan di peringkat bahagian semakin hangat. Dilema Umno untuk mengulamak kepimpinannya di Kelantan terhimpit dengan hambatan pengaruh kepimpinan sekular dengan kecemerlangan PAS menerajui kerajaan negeri Kelantan. Kehadiran tokoh agama Ustaz  Zainal Abidin Ab Kader telah dipandang serung oleh kebanyakan pemimpin berlatar belakang sekular. Keadaan panas di peringkat bahagian makin menaik bila mana kehadiran beberapa tokoh "baru" dari bekas Semangat 46 yang sudah bisik-bisik untuk merebut jawatan di peringkat Ketua Bahagian. Sehingga pemimpin Umno "lama" mula merasai bala bagi Umno Kelantan menerima bekas ahli Semangat 46. Apakah semuanya itu tidak dapat difahami oleh keseluruhan orang Kelantan? Tidak mungkin, atas nama orang Kelantan, mereka semua memahaminya kerana  orang Kelantan adalah orang yang faham politik negerinya.o