Make your own free website on Tripod.com
Manusia Sebagai Faktor Terpenting Penggerak Jemaah

Oleh : CHEOMARa

 "Seorang ketua ialah seorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi dan beramal dengan ilmu agama itu"

Kampung  Embi sebuah kampung yang terletak di pedalaman Kuala Lipis.  Kampung ini ialah sebuah kampung yang kecil . Di dalam kampung ini terdapat sepuluh buah keluarga. Di dalam kampung ini tidak ada ketua kampung.  Di tengah-tengah kampung terdapat sebuah surau yang boleh muat lima saf. Sembahyang berjemaah di surau ini biasanya diimami oleh seorang yang sudah tua. Tidak ramai orang yang berjemaah di surau ini. Ada kadangkala lima orang. Kadang-kadang dua orang sahaja  iaitu Pak Imam dan isterinya. Sembahyang  jemaah di surau ini bukan untuk lima waktu sahari semalam.  Pada waktu Zohor dan Asar biasanya tidak ada orang berjemaah. Kalau yang ada pun pada waktu Maghrib dan Isya', waktu subuh pun jarang-jarang berjemaah. Biasanya, Pak Imam tua tersebut solat subuh berjemaah bersama isterinya di rumahnya. Kalau dia datang ke surau pun biasanya yang bersolat hanya dia dan isterinya.

Kisah di atas merupakan satu kisah yang benar. Meski pun ia berlaku di situ, tidak semesti nya tidak berlaku di tempat lain. Ia boleh berlaku di mana-mana kampung  di Malaysia. Kisah di atas menceritakan kepada kita mengenai pegangan agama penduduk sebuah kampung. Kampung bukan terjadi dengan sendiri.  Kampung terjadi apabila ramai keluarga mendiami dan menetap disitu.  Apabila ramai keluarga menetap di sebuah kampung, orang ramai di situ perlu memilih seorang ketua untuk dijadikan wakil penduduk. Bagi penduduk Islam, kampung itu mesti ada surau. Surau itu boleh berfungsi sebagai pusat ibadat dan aktiviti agama, di samping berfungsi sebagai pusat jemaah. Di Kampung Embi di atas, surau tidak digunakan sebagai pusat jemaah, fungsi surau tidak digunakan dengan sepenuhnya. Di situ tidak ada kuliah Maghrib apatah lagi kuliah subuh. Surau itu bagaikan hidup segan mati tak mahu. Apabila ditakdirkan Pak Imam tua telah tiada, maka surau itu mungkin akan menjadi usang, tua dan tidak digunakan.

Sebuah kampung yang didiami oleh orang Islam, maka wajib bagi penduduknya melantik seorang menjadi ketua. Ketua yang dilantik bukan dari  sebarangan orang. Ketua juga bukan semestinya seorang tua. Seorang ketua ialah seorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi dan beramal dengan ilmu agama itu. Dengan itu seorang ketua layak menjadi seorang imam surau atau masjid. Seorang ketua mestilah berperanan sebagai pemimpin. Dia boleh memimpin orang kampung. Matlamat kepimpinannya mestilah mencari keredhaan Allah s.w.t. Orang kampung mestilah mematuhi kepimpinan seorang ketua selagi kepimpinanya tidak melakukan maksiat atau bercanggah dengan Islam.

Di dalam tamadun  manusia, kampung-kampung akan membentuk mukim. Kelompok mukim pula akan membentuk daerah atau jajahan. Pengumpulan daerah-daerah pula akan membentuk sebuah negeri. Kesatuan  beberapa negeri akan menjadi negara. Di dalam dunia demokrasi hari ini, negara akan dikuasai oleh kepimpinan dari parti  politik yang mempunyai wakil rakyat yang majoriti (yang berpegaruh)  diberi kuasa untuk memilih ketua negara. Mana-mana parti politik yang tidak bersama dengan parti politik terbesar (kurang berpengaruh ) akan menjadi parti pembangkang. Pemerintahan negara akan didasari daripada matlamat dan dasar parti politik pemerentah. Dasar-dasar ini biasanya digariskan secara umum melalui manifesto parti. Parti PAS misalnya menggariskan dasar yang amat jelas iaitu berpandukan kepada Al-quran dam sunnah serta qias-ijma'. Dasar  ini tidak akan berubah meskipun zaman berubah.

Parti PAS memiliki para pemimpin yang mendaulatkan dasar PAS. Parti PAS tidak hanya digerakkan oleh para pemimpin atasan. Parti PAS sebenarnya digerakkan oleh ahli-ahli PAS yang komited yang berada bertaburan di merata tempat. Kita harus maklum bukan pemimpin peringkat kawasan yang menggerakkan parti. PAS kawasan terbentuk daripada kelompok cawangan. Tanpa cawangan maka tidak adalah kawasan. Justeru itu, orang terpenting yang menghidupkan jemaah parti ialah ahli-ahli cawangan PAS. Orang itu ialah kita.

Kita adalah manusia. Sebagai manusia, diri kita mempunyai tiga dimensi iatu jasmani, intelek (kecerdikan) dan rohani. Dimensi rohani akan menjadi teras kepada intelek dan jasmani. Kita sudah tahu bukan semua manusia pandai. Ada manusia yang kurang pandai, ada yang lemah daya ingatan, ada yang tidak mempunyai ketahanan mental, ada yang tidak boleh berada dalam situasi yang tertekan. Pendek kata, manusia tidak sama sifatnya. Apa yang saya ingin katakan di sini ialah manusia yang cerdik dan pintar  ialah manusia yang biasanya boleh menjadi pemimpin. Manakala bagi manusia yang kurang memiliki ilmu pengetahuan, mereka biasanya menjadi pengikut sahaja. Dengan itu, di dalam satu kumpulan manusia, akan terdapat pelbagai ragam manusia. Apabila kita memperkatakan mengenai satu kumpulan manusia, ia mesti terdiri daripada ahli-ahli yang mempunyai perangai yang  hampir sama . Kalau sekiranya ada ahli-ahli yang mempunyai perangai yang tidak sehaluan dengan kehidupan biasa kumpulan, maka ahli tersebut perlu berundur daripada kumpulan tersebut. Kalau tidak, lambat laun ia akan disingkirkan.

Satu jemaah ialah satu kumpulan manusia. Jemaah ditubuhkan bagi mencapai matlamat tertentu. Matlamat sesuatu jemaah adalah berbeza. Ia juga berbeza dengan kumpulan manusia yang membentuk kelab, persatuan dan golongan kelompok. Kelab sukan misalnya ditubuhkan untuk mereka yang berminat dengan sukan. Keahliannya boleh dianggotai oleh lelaki remaja dan dewasa. Keahlian kelab juga boleh terbuka untuk semua kaum dengan tidak mengira jantina. Persatuan pula dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepentingan yang sama seperti persatuan belia. Keanggotan persatuan biasanya lebih spesifik, tetapi boleh menyeluruh dan terbuka seperti terbuka untuk semua kaum dengan tidak mengira jantina tetapi untuk mereka yang berumur 21 tahun hingga 35 tahun.

Satu jemaah secara khusus merujuk kepada kelompok manusia (umat) Islam. Satu jemaah hendak- lah terdiri daripada kelompok manusia yang beragama Islam. Jemaah mempunyai ahli-ahli yang  komited dengan Islam. Seorang pemikir Islam, Dr. Adnan 'Ali Ridha Al-Annahwy di dalam bukunya Syura Bukan Demokrasi, menjelaskan jemaah ialah satu golongan manusia Islam yang mengikuti apa yang diturunkan oleh Allah. Jemaah ialah  kumpulan manusia yang mengikuti kebenaran serta mengagungkan syiar Allah dan mempraktiskannya. Mereka hanya membenarkan apa yang diseru oleh pendakwah menuju jalan yang benar. Daripada takrifan di atas,  kita akui bahawa jemaah boleh wujud di dalam pelbagai  bentuk selagi mana matlamat dan operasi perjalanannya  secara jelas dinyatakan untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Di antara jemaah yang berpaksikan kepada  Al-Quran dan as-Sunnah ialah kelompok-kelompok manusia Islam di dalam parti PAS.

Kehidupan parti PAS bukan digerakkan oleh pemimpin parti. Kekuatan parti PAS digerakkan oleh kesatuan individu ahli-ahli PAS yang berada di cawangan. Jemaah inilah yang banyak berkorban bagi melihat parti PAS terus hidup dan semakin berkembang mengikuti perubahan zaman. Meskipun satu-satu jemaah itu mempunyai ahli yang ramai, namun jemaah tersebut mesti digerakkan oleh seorang ketua. Ketua dan jawatankuasa  cawangan akan dipilih melalui mesyuarat cawangan. Meskipun jemaah mempunyai jawatankuasa, namun orang yang paling terpenting didalam menggerakkan jemaah ialah ketua. Seorang ketua didalam jemaah beperanan sebagai khalifah Allah iaitu mengurus dan mentadbir jemaah melalui perlaksanaan dan praktis Islam sebagai budaya organisasi. Di dalam bertindak sebagai ketua beliau mestilah mengurus dan mentadbir dengan bijak. Beliau tahu tentang apa yang perlu dibuat bagi membangun jemaah. Di dalam istilah masa kini, beliau adalah seorang yang mempunyai wawasan. Beliau juga haruslah bijak di dalam mencari dan menyediakan banyak jalan bagi membolehkan jemaahnya berfungsi dan hidup. Apa yang jelas ialah seorang ketua ialah seorang yang tidak boleh duduk diam. Otaknya harus sentiasa berfikir mengenai cara-cara untuk mengurus dan membangun jemaah. Sekiranya seorang ketua ialah seorang yang kurang bijak, pemikiran beliau mungkin terbatas. Kesannya jemaah itu tidak boleh berjalan di sepanjang waktu. Perjalanan jemaah jadi bermusim. Biasanya akan bergerak bila dekat dengan pilihanraya atau kerana desakan pemimpin atasan. Kalau tidak jemaah hanya tinggal nama saja.

Meskipun kewujudan ketua penting, pengorbanan ahli jemaah di dalam menjalankan kerja-kerja jemaah merupakan perkara yang lebih penting bagi kehidupan jemaah. Kerja jemaah bukanlah kerja bergaji seperti yang diterima oleh pekerja yang bekerja dengan syarikat. Ahli-ahli jemaah mestilah sanggup bekerja keras dengan tidak mengira ganjaran yang boleh diterima. Harus kita ingat adakala masanya ahli jemaah terpaksa  mengeluarkan wang sendiri bagi satu-satu kerja jemaah. Di dalam hidup berorganisasi pula, ahli jemaah merupakan pengikut kepada pemimpin. Ahli jemaah mestilah akur dan patuh kepada arahan ketua. Arahan atau pemintaan itu juga perlulah kena dengan situasai tertentu.

Apa yang jelas, di dalam kehidupan berjemaah, kerjasama di antara ketua dan pengikut merupakan faktor terpenting penggerak jemaah. o