Make your own free website on Tripod.com

Ar Rahn telah beri pinjaman RM142 juta

SISTEM gadaian Islam milik kerajaan negeri, Ar Rahn sejak ditubuh empat tahun lalu sehingga awal Januari 1997 sudah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM142 juta kepada peminjamnya.

Ar Rahn yang dikendalikan oleh Permodalan Kelantan Berhad (PKB) mula beroperasi di Kota Bharu pada Mac 1992 dan sebuah lagi cawangannya telah dibuka di Tanah Merah pada 1 Febuari 1995.

Pengarah Eksekutif PKB, Haji Aziz Nawi berkata, jumlah peminjam bagi tempoh itu di seramai 252,000 orang di Kota Bharu dan di Tanah Merah (65,000 orang).

Beliau berkata, sambutan terhadap Ar Rahn amat menggalakkan dan pihaknya bercadang memperluaskannya di bandar lain di negeri ini.

Di Kelantan sekarang terdapat 10 buah pajak gadai termasuk dua yang dikenali oleh PKB.
Sambutan yang diberikan oleh penduduk tempatan terhadap sistem gadaian itu amat menggalakkan sekali terutamanya menjelang musim perayaan.

Setiap kali menjelang musim perayaan orang ramai sejak dari awal pagi sudah berada di Ar Rahn untuk mendapatkan pinjaman kewangan. Kesesakan cukup terasa sehingga orang ramai yang datang melimpah ke kawasan luar kaunter.

Kadar perkhidmatan yang berpatutan berbanding dengan sistem gadaian konvensional menyebabkan ia menjadi pilihan ramai untuk mendapatkan pinjaman kewangan secara mudah.

Sementara itu Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Ar Rahn akan diperluaskan di bandar-bandar lain di Kelantan bagi mengelakkan sistem riba yang masih diamalkan oleh sistem gadaian konvensional.

“Kita perlu perluaskan Ar Rahn di tempat-tempat lain dan pada tahun 1998 dijangka tiga lagi Ar Rahn akan dibuka di negeri ini bagi menggantikan pajak gadai riba,” katanya.

Hasrat Menteri Besar itu sentiasa ditunggu-tunggu oleh penduduk di luar Kota Bharu dan Tanah Merah untuk mendapatkan khidmat Ar Rahn kerana ia ternyata memberi manfaat yang cukup berkesan.


HOME