Make your own free website on Tripod.com

Persatuan Muslim Thailand lawat Kelantan

KIRA-KIRA 700 anggota Persatuan Muslim Thailand melawat negeri ini pada awal Mac lalu bagi merapatkan persaudaraan umat Islam di negara itu dan di Kelantan.

Mereka juga datang untuk melihat dengan lebih dekat lagi tentang perkembangan Islam sejak pentadbiran ulama menguasai Kelantan.

Rombongan itu datang dari Bangkok menaiki 17 buah bas dan lima kereta dengan diketuai oleh Ketua Persatuan Muslim Thailand, Haji Banjong Soh Mani.

Ahli Exco Kelantan, Ustaz Mohamed Daud dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Haji Hashim Bani Abdul Hamid, serta para pegawai jabatan meraikan kedatangan rombongan itu dengan jamuan makan tengahari.

Ketika berucap di majlis itu, Haji Banjong berkata keberkesanan pemerintahan Islam di Kelantan cukup terasa sejak  diterajui oleh golongan ulama.

“Kami cukup terharu dengan perkembangan yang berlaku di Kelantan sekarang,” katanya.  Beliau berucap dalam bahasa Thailand dengan diterjemahkan oleh seorang juru bahasa.

Beliau berpendapat bahawa ada banyak persamaan di antara penganut agama Islam di Thailand dan di negeri ini biarpun berlainan bangsa.

Turut serta dalam rombongan  itu ialah Setiausaha Speaker Thailand, Sutpik Hang Lokman, dan ahli jawatankuasa persatuan itu, Aziz Kado.


HOME