Make your own free website on Tripod.com

Projek petrokimia jadi pemangkin ekonomi Kelantan

PADA 4 April 1997 teratat lembaran sejarah baru bagi negeri Kelantan apabila perjanjian membangunkan projek petrokimia di Pantai Senok Bachok dimenterai secara rasminya.

Inilah lembaran yang menggambarkan kerjasama ekonomi antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat dapat dilakukan bagi kepentingan rakyat walaupun ada perbezaan politik.

Upacara menandatangani perjanjian itu disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Majlis bersejarah itu  diadakan di Kilang KUB Tekstil Pengkalan Chepa.

Timbalan Menteri Besar YB Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menandatangani bagi pihak anak syarikat PKINK, Keloil Sdn Bhd.

Pengerusi Koperasi Usaha Bersatu Berhad (KUB), Datuk Hassan Harun dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Shahibuddin Mohd Nor, menandatanganinya bagi pihak KUB Berhad.

Industri hiliran yang berasaskan gas dan minyak itu akan menjadi pemangkin kepada ekonomi Kelantan bagi berkembang maju mengiringi negeri-negeri lain.

Sempena majlis itu sambutan telah diberikan oleh lebih 3,000 rakyat Kelantan kepada Perdana Menteri tanpa mengira perbezaan politik.

Kompleks petrokimia yang dicadangkan itu akan dibangunkan di kawasan seluas 2,000 hektar di Pantai Senok, Bachok, yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2003 Gas dan minyak yang didaratkan di situ adalah untuk pasaran tempatan dan luar negara seperti Thailand, Vietnam dan Kampuchea.

Operasi pengisian kebuk gas dijangka akan dimulakan pada Julai depan.
Telaga simpanan minyak di kawasan pantai Kelantan dijangka dapat mengeluarkan sebanyak 48 juta  padu standard gas dan 585 tong minyak sehari.

Ketibaan Perdana Menteri kali ini dengan jet eksekutif khasdisambut oleh Menteri Besar Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa.

Sebagai tuan rumah Tuan Guru dan timbalannya YB Ustaz Abdul Halim sentiasa berada bersama-sama Perdana Menteri di setiap majlis yang telah diaturkan oleh KUB.

Menteri Besar, timbalannya, anggota-anggota Exco, pegawai kanan  dan menteri-menteri pusat serta pemimpin Umno sekali lagi berada di Lapangan Terbang untuk menyaksikan Perdana Menteri pulang.

Perdana Menteri dalam ucapannya sebelum berpisah melahirkan komitmen untuk terus membantu Kelantan bagi kebaikan rakyat di negeri ini.

Katanya, ketiga-tiga negeri di Pantai Timur sekarang termasuk Kelantan sudah kelihatan jelas sedang berkembang maju.

Menteri Besar juga merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Perdana Menteri kerana kesudiannya meluang masa untuk melawat Kelantan.

Beliau berharap pertemuan pada 4 April itu boleh mencetus suasana baru hubungan ekonomi di antara kerajaan PAS Kelantan dan Pusat.


HOME