Make your own free website on Tripod.com

Kemahang akan membangun dengan bandar baru dan industri

KERAJAAN Kelantan akan membangun bandar baru di Kemahang, Tanah Merah.  Bandar baru Kemahang akan  dilengkapi dengan kawasan industri dan perumahan.

Timbalan Menteri Besar YB Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman berkata, pembangunan bandar baru di Kemahang itu melibatkan tanah yang dimiliki oleh peneroka Felda dan kerajaan seluas 3,200 hektar.

Katanya, peneroka yang mempunyai tanah di kawasan yang dicadangkan itu, yang diwakili oleh Koperasi Felda Kemahang, telah menyatakan persetujuan mereka pada mesyuaratnya 22 Mac lalu.
Timbalan Menteri Besar berkata 99 peratus peneroka terbabit telah menyatakan persetujuan dan sebahagian lagi adalah tanah kerajaan.  Selain ini rancangan pembangunan itu tidak melibatkan pengambilan tanah rakyat.

Menurutnya, pembangunan dirancangan itu akan dijalankan bagi tempoh Rancangan Malaysia ke-Tujuh dan mungkin akan diselesaikan sehingga Rancangan Malaysia ke-Lapan.

“Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan agensi-agensi kerajaan lain diarah membuat kajian bentuk pembangunan yang dicadangkan itu,” ujarnya selepas mesyuarat Exco 19 Mac lalu yang dipengerusikan oleh Menteri Besar.

YB Ustaz Abdul Halim berkata, pembangunan Bandar Baru Kemahang itu akan mengandungi tapak perindustrian tersusun iaitu sebagai projek yang dipindahkan dari tapak industri yang dicadangkan sebelum ini di Batang Merbau, Tanah Merah sebelum ini.

Katanya juga, tiga pihak dijangka terbabit secara langsung dengan projek pembangunan itu iaitu Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), swasta dan peneroka.

“Bagi memastikan projek itu berjalan lancar kerajaan negeri juga tidak keberatan untuk mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Pusat bagi  membangunkan bersama kawasan tersebut,” tambahnya.
Bandar baru Kemahang adalah rancangan kedua membangunkan bandar baru oleh kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 1990 lalu.

Pada akhir tahun lalu kerajaan negeri telah menandatangani perjanjian usaha sama di antara PKINK dan MJS Partners Sdn Bhd untuk membangunkan Bandar Baru Pengkalan Kubur dengan membabitkan pelaburan sebanyak RM2.3 bilion.

Kawasan yang akan dimajukan di Jajahan Tumpat itu meliputi keluasan 7,200 hektar akan dilengkapi dengan masjid, pasar borong, Pusat Dagangan Islam Antarabangsa, institusi pengajian tinggi, kawasan perindustrian dan perumahan.


HOME