Make your own free website on Tripod.com

Che Hussain Che Kob Peladang Jaya Kelantan

CHE Hussain @ Che Ahmad Che Kob, 47 , seorang petani dari Kampung Kulim Hilir Pasir Puteh telah diisytiharkan sebagai Peladang Jaya Lelaki peringkat negeri Kelantan 1996.
Beliau mengusahakan tanah seluas lima hektar dan mengendalikan perusahaan kecil membuat roti serta sebuah kedai runcit.

Beliau menanam cili merah, tembikai, sayur-sayuran, padi, kelapa, jambu batu dan ikan air tawar sejak beberapa tahun lalu di tanah seluas lima hektar itu.

Hasil pulangan tanaman itu bagi setiap tahun kira-kira RM30,000.  Daripada industri kecil  membuat roti dan kek serta sebuah kedai runcit yang beliau usahakan itu diperolehi hasil sebanyak RM94,000 pada 1995.

Kejayaan itu melayakkan Che Hussain menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 di majlis penyampaian hadiah Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kelantan 1996.

Sebelum ini beliau turut terpilih sebagai Peladang Jaya Lelaki Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Muar, Johor September lalu dan beliau memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.
Menurutnya, seramai 20 ahli keluarganya turut membantu sebagai pekerja mengusahakan bidang pertanian.

Sementara itu, Peladang Jaya Wanita dimenangi oleh Hasnah Musa dari Kampung Kok Keli, Tumpat, Peladang Jaya Muda disandang oleh Mohd Naszri Hassan dari Kampung Dusun Durian, Mahligai, Kuala Krai  dan Penternak Ruminan Jaya dijuarai oleh Awang Yaakib dari Kampung Wakaf Aik, Tawang, Bachok.


HOME