Make your own free website on Tripod.com

Kerajaan lantik 25 penyelia kawasan

KERAJAAN KELANTAN telah melantik 25 penyelia  untuk mewakili rakyat 17 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan lapan Parlimen yang mempunyai wakil rakyat pembangkang dari Barisan Nasional dan bekas PMS 46 yang telah menyertai Umno di negeri ini.

Majlis penyampaian sijil perlantikan telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

YAB Menteri Besar berkata, perlantikan itu bagi memudahkan kerajaan negeri mendapat maklumat tentang masalah setempat dan menyalurkan peruntukan bagi kawasan yang tidak diwakili oleh parti kerajaan.

Katanya, jawatan itu diwujudkan kerana sebelum ini pihakkerajaan negeri tidak banyak mengetahui perkembangan yang berlaku di kawasan yang diwakili oleh wakil-wakil rakyat Barisan Nasional.
“Dengan perlantikan itu kerajaan juga mudah menyalurkan peruntukan kepada rakyat melalui penyelia-penyelia yang dilantik,” katanya.

YAB Tuan Guru berkata, peruntukan kepada sesuatu kawasan sebelum ini lebih banyak disalurkan melalui wakil rakyat yang mewakili kawasan berkenaan.

Menurutnya juga, elaun sebanyak RM500  sebulan sebagai sagu hati diberi kepada penyelia-penyelia itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Kewangan dan Pentadbiran negeri, YB Datuk Halim Mohamed berkata, pelantikan penyelia itu penting bagi memudahkan kerajaan menyalurkan maklumat kepada penduduk setempat.

Beliau juga meminta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri memberi kerjasama sepenuhnya kepada penyelia-penyelia berkenaan seperti mana yang dilakukan terhadap wakil rakyat.

Antara penyelia yang dilantik, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh (Dun Melor), Mohd Ashaari Mamat (Dun Ketereh), Ibrahim Isa (Dun Salor), Shaari Awang (Dun Jelawat), Othman Zakaria (Dun Gual Periuk), Haji Yusof Noor (Dun Kota Lama) dan Nik Kamil Nik Abdullah (Parlimen Kota Bharu).


HOME