Make your own free website on Tripod.com

Ternakan ikan Empangan Pergau dicerobohi

USAHA Jabatan Perikanan Kelantan untuk menternak ikan di Empangan Pergau, Jeli menghadapi masalah kerana terdapat sekumpulan nelayan sungai mencerobohi kawasan itu.  Pihak jabatan telah mengesan perbuatan ini baru-baru ini.

Menurut Pengarah Perikanan Negeri, Nik Abdul Wahab Mat Diah, Jabatan Perikanan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli dan polis akan sentiasa mengawal kawasan berkenaan berikutan banyak aduan yang diterima mengenai kegiatan itu.

Jelasnya lagi, dalam aduan yang diterima, sekurang-kurangnya antara lapan hingga 10 orang setiap hari dari jam 6.00 petang hingga lewat pagi mencerobohi kawasan tersebut untuk menangkap ikan dengan menggunakan rakit buluh, jala serta pukat.
Sambung beliau lagi, lebih daripada 50,000 ikan dari pebagai spesis telah dilepaskan di empangan tersebut  pada Mei 1996 untuk dibiakkan.

YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman dan Exco-Exco kerajaan negeri pernah melepaskan anak ikan ke empangan itu untuk dibiakkan.

Beliau seterusnya memberitahu, antara spesis yang terkenal seperti jelawat, lampan jawa dan talapia turut dilepaskan di empangan seluas 400 hektar itu.


HOME