Make your own free website on Tripod.com

Elak diri daripada berhutang

UMAT Islam yang mahukan syurga dan kesejahteraan di akhirat perlu mengelakkan diri daripada berhutang yang semata-mata untuk menikmati kemewahan sementara di dunia jika tidak ada keupayaan untuk melunasinya, kata YAB Menteri Besar Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mengupas ayat 21 hingga 39 surah al-Isra' pada majlis tadarus Qur’an di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas pada 28 Januari lalu, beliau berkata hutang bukan perkara main-main dan ianya tidak boleh dipandang dan dianggap mudah.

Katanya, asal saja nama hutang, walaupun satu sen, jika tidak dibayar akan menyebabkan seseorang itu tidak boleh masuk syurga, malah rohnya tidak akan diterima oleh langit dan bumi selagi hutang itu tidak dilunasi.

“Sedangkan tidak melunasi hutang sesama manusia pun tidak membolehkan seseorang itu masuk syurga, apatah lagi hutang dengan Allah yang mana manusia pada hakikatnya, sama ada disedari atau tidak, sebenarnya ada hutang dengan Allah Maha Pencipta dengan syarat apa yang disuruh-Nya disempurnakan dan yang dilarang-Nya dijauhi,” katanya.

Jelas beliau, antaranya Allah memberikan hutang nyawa, kesempurnaan anggota tubuh badan, anak isteri dan segala kenikmatan termasuk makan minum dan kekayaan harta benda.

Cara dan peraturan untuk membayar hutang Allah terkandung dalam al-Quran dan Hadis Rasulullah. Jika  yang disuruh diingkari dan yang dilarang dilakukan, maka Allah akan memberikan dosa yang boleh diibaratkan sebagai hutang yang boleh pula dilunasi melalui taubat yang patut dilakukan tanpa rasa jemu dan bosan oleh setiap orang beriman.

Dalam pada itu ketika mengupas ayat yang sama pada majlis tadarus di Masjid Kampung Laut Tumpat, Tuan Guru Menteri Besar menyelar sikap segelintir umat Islam termasuk ahli-ahli politik dan pegawai tadbir yang sanggup mengumpul kekayaan melalui jalan yang tidak halal termasuk rasuah.
“Perbuatan sedemikian terang-terang bercanggah dengan Islam, sekaligus bererti sengaja berhutang dengan Allah dalam bentuk longgokan dosa,” katanya.

Beliau menambah mereka yang terbabit tidak akan dapat masuk syurga jika harta yang dikumpul melalui cara yang tidak halal tidak dipulangkan kepada yang hak walau atas alasan apa sekalipun.
“Untuk selamat daripada kesukaran untuk masuk syurga, eloklah jika dihentikan tabiat berhutang dan mengumpul harta melalui cara yang tidak halal semata-mata kerana mahu hidup senang dan hebat di dunia,” tegas beliau.

Untuk lebih selamat, Menteri Besar menyarankan setiap orang mengamalkan cara hidup serba sederhana yang hanya dapat dicapai apabila ajaran Islam yang terkandung dalam al-Quran dihayati dan dijadikan amalan hidup tanpa sebarang rasa ragu dan waswas. 


HOME