Make your own free website on Tripod.com

Golongan ‘terencat iman’ dan ‘makhluk perosak’ tolak perlaksanaan hudud

YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat berkata, golongan yang disifatkannya sebagai ‘terencat iman’ dan ‘makhluk perosak’ memberikan alasan-alasan  remeh dan tidak berasas untuk menolak perlaksanaan hudud.

Katanya,golongan yang menolak perlaksanaan hudud telah memberikan alasan seperti hendak tunggu ekonomi teguh, atau tunggu supaya rakyat benar-benar faham hudud, atau hudud tidak boleh dilaksanakan di dalam masyarakat majmuk dan berbagai-bagai alasan lagi.

YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar bertanya sama ada alasan tersebut selalu dipakai apabila sesuatu undang-undang hendak dilaksanakan.

Beliau percaya sekiranya alasan-alasan itu dibahas secara terbuka sudah tentu rakyat boleh menilai dan membuat keputusan bahawa itu adalah alasan yang sengaja diada-adakan untuk menutup segala yang tersirat di hati mereka.

“Apa yang tersirat di hati mereka adalah mereka tidak berselera atau berkinginan untuk melaksanakan undang-undang hudud.  Keadaan tidak berselera itu mungkin disebabkan terencat keimanan terhadap Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan beliau yang dibacakan oleh YB Timbalan Menteri Besar, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, di majlis pelancaran Hari Hudud Kali Ketiga yang diadakan di Balai Islam, Lundang, Kota Bharu baru-baru ini.

Beliau seterusnya bertanya mengapa tidak diusahakan memberi kefahaman kepada masyarakat tentang hudud sekiranya kejahilan masyarakat menjadi alasan untuk tidak melaksanakan hudud.
“Mengapa golongan agama sahaja yang masuk keluar kampung bersyarah, mengajar mengenainya sehingga menubuhkan sekolah pondok dan sekolah untuk bersyarah dan mengajar mengenai hudud sedangkan golongan pengamal common law tidak berbuat demikian, malahan mengajar pun tidak, jauh sekali  membuka sekolah atau pondok untuk tujuan tersebut?” tanya beliau.

Mengulas tentang sikap Kerajaan Kelantan bagi menghadapi halangan melaksanakan Hudud menerusi Kanun Jenayah Syariah II (Pindaan)  yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993, beliau berkata buat masa ini ia bergantung kepada suasana sekitarnya untuk membolehkan ia tumbuh dan berkembang subur.

“Tanah Kelantan tetap subur sejak dulu lagi kerana ia telah begitu lama dibajai oleh para alim ulama yang sentiasa gigih dan ikhlas berjuang mengabdikan diri untuk menyebarkan ilmu dan pengetahuan di merata ceruk di negeri ini.

“Tetapi oleh kerana cuaca panas dan tanah gersang yang ada di sekeliling negeri ini yang saling kait mengait dan pengaruh mempengaruhi serta banyak pula makhluk perosak dan serangga yang sering menganggu-gugat maka usaha itu masih belum dilihat hasilnya,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa makhluk perosak akan terus menggunakan segala daya untuk memburuk dan melenyapkan golongan Islam.

Sambil memberi contoh penentangan terhadap Islam yang berlaku  di Turki, beliau berkata, golongan (makhluk perosak) ini berada di seluruh pelosok dunia terutamanya di negara umat Islam. 


HOME