Make your own free website on Tripod.com

Kelantan tetap bersungguh-sungguh mahukan Hudud terlaksana

KERAJAAN Kelantan tetap meneruskan usaha bersungguh-sungguh agar undang-undang hudud yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan melalui Kanun Jenayah Syariah II ((1993) dapat dilaksanakan.

Antara caranya ialah Kerajaan Kelantan mengadakan majlis memperingati hudud yang disambut setiap tahun bagi menyedarkan rakyat betapa perlunya manusia kembali kepada undang-undang Allah itu.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan, Dakwah dan Penerangan Kerajaan Kelantan, YB Ustaz Mohamad Daud dalam ucapan alu-aluannya sempena pelancaran sambutan Hari Hudud kali ketiga yang berlangsung di Balai Islam, Lundang, Kota Bharu pada 9 Februari lalu.

Katanya, halangan musuh tidak melemahkan semangat Kerajaan Kelantan untuk berusaha supaya hudud dilaksanakan.

Beliau menjelaskan bahawa ada tujuh tujuan sambutan Hari Hudud diadakan setiap tahun.
Katanya, pertama, sambutan ini diadakan bagi menjelaskan kepada masyarakat bahawa tidak ada jalan lain untuk menyelesaikan masalah kecuali kembali kepada undang-undang Allah SWT.

Kedua, sambutan ini juga bagi membuktikan kepada rakyat bahawa usaha Kerajaan Kelantan ini adalah bersungguh-sungguh dan tidak  lemah semangat walaupun ada halangan daripada musuh.

Ketiga, melalui sambutan Hari Hudud diharapkan dapat menyedarkan minda dan fikiran umat Islam terhadap hudud sebagai hukum Allah dan Rasul-Nya dengan tujuan dapat membuka jalan bagi dilaksanakan suatu hari nanti.  Walaupun perlaksanaannya dianggap mustahil hari ini tetapi suatu hari nanti ia akan jadi  kenyataan.

Keempat,, Hari Hudud disambut bagi menerangkan kepada masyarakat bahawa Kelantan ialah sebuah universiti  ilmu dan negeri terbuka yang memberi ilmu serta pendidikan kepada masyarakat.
Kelima, untuk menyedarkan masyarakat Islam dan bukan Islam dengan mendedahkan mereka kepada ajaran dan undang-undang Islam.

Keenam, bagi menjelaskan lagi kepada masyarakat bahawa Islam tidak terhad kepada ibadat sahaja bahkan meliputi semua soal hidup.

Dan ketujuh, sambutan Hari Hudud diadakan bagi mengadakan tekanan kepada pihak tertentu supaya melihat kepada ajaran dan undang-undang Islam secara positif dan bukan negatif.

Ustaz Mohamad Daud menegur sesetengah pemimpin masyarakat Islam yang membuat ucapan-ucapan sumbang bagi merendah-rendahkan undang-undang Islam dengan mana mereka bukan sahaja jadi menyeleweng daripada Islam malahan juga menjejaskan ajaran Islam.


HOME