Make your own free website on Tripod.com

Perlaksanaan Hudud adalah tanggungjawab pemimpin kerajaan

AHLIi-ahli panel dalam forum sambutan Hari Hudud yang diadakan di Balai Islam Lundang, Kota Bharu pada 9 Februari lalu sama-sama berpendapat bahawa perlaksanaan hudud tertanggung ke atas pemimpin pemerintahan.

Dengan itu mereka menegaskan rakyat hendaklah mempastikan supaya orang yang ikhlas dan sanggup memikul tanggungjawab melaksanakan hudud dan lain-lain peraturan Islam sahaja yang dipilih untuk menjadi pemimpin.

Ahli-ahli panel forum tersebut, iaitu bekas Mufti Sabah, Tuan Haji Said Ibrahim, Datuk Ismail Kamus dan Tuan Ibrahim bin Tuan Man yang berjaya menarik perhatian lebih 7,000 hadirin yang membanjiri kawasan Balai Islam juga sama-sama menyangkal segala alasan yang dikemukakan oleh golongan yang tidak mahu melaksanakan hudud.

Antara alasan-alasan itu ialah hudud tidak dapat dilaksanakan kerana masyarakat negara ini majmuk atau kerana masyarakat belum lagi faham tentang hudud atau akan timbul huru-hara jika hudud dilaksanakan. Ada juga alasan, hudud tidak lagi sesuai untuk dilaksanakan pada zaman ini.

Dengan memberikan contoh tentang hujah mengatakan akan berlaku huru-hara jika hudud dilaksanakan,Haji Said berkata hujah-hujah sedemikian bukanlah alasan tetapi hanya andaian.
“Ini bukan alasan tetapi andaian kerana mengatakan sesuatu yang belum terjadi,” katanya.

Beliau berkata bagi mengatasi masalah masyarakat majmuk, pengecualian memang ada bagi bukan Islam untuk membuat pilihan sama ada mahu diadili mengikut hukum hudud atau tidak.
“Jangan buat andaian dan agak-agak terhadap hukum Islam,” katanya.

Beliau juga berkata jangan salahkan hakim apabila tidak mengadili sesuatu jenayah syariah mengikut kehendak hudud.

“Salahkan orang (pemimpin) yang tidak memperundangkan hudud,” katanya.
Tuan Ibrahim pula menegaskan bahawa hudud merupakan ujian yang diturunkan Allah kepada pemimpin kerana hudud memang dipertanggungjawabkan kepada pemimpin kerajaan untuk dilaksanakan.

Beliau mahukan hudud diterima dan dilaksana atas dasar aqidah, iaitu menerimanya sebagai kehendak Allah.

Mengulas tentang andaian keadaan masyarakat majmuk menyulitkan pelaksanaan hudud, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa segala yang haram dalam Islam memang tidak digalakkan oleh masyarakat bukan Islam lebih-lebih lagi segala akibat buruk daripada yang haram itu kerajaan jugalah yang terpaksa  tanggung dan mengeluarkan belanja mengatasinya.

“Hudud adalah untuk hukum orang jahat. Membela orang jahat, buat apa?” tegas beliau sebagai menjawab alasan mereka yang lebih kasihan kepada pencuri yang kena potong tangan daripada orang yang kecurian harta benda yang telah didapati denga jerih-perih selama bertahun-tahun.

Menyentuh masalah kefahaman masyarakat tentang hudud, beliau  mahukan undang-undang hudud ini dilaksanakan dahulu kerana perlaksanaannya itu akan mejadikan orang ramai faham tentangnya.
“Tetapi yang kelihatan sekarang, ada orang Islam seolah-olah menjadi jurucakap bagi pihak orang kafir untuk menentang perlaksanaan hudud,“ katanya.

Datuk Ismail Kamus pula mengulas bahawa segala alasan menolak perlaksanaan hudud lebih kelihatan membela orang yang zalim manakala yang dizalimi tidak dibela.

Katanya, ada orang Melayu marah dituduh kafir tetapi perangai kafir itulah yang dibawanya.
Beliau mencadangkan supaya diadakan perbincangan antara ulama yang menyokong hudud dengan yang tidak menyokong.

“Sokonglah mana-mana pihak yang mahu tegakkan hudud,” tegasnya.
Beliau menjelaskan Islam meletakkan soal akhlak di tempat yang sangat tinggi dan ada undang-undangnya sedangkan ini tidak terdapat pada agama lain.

Beliau mencadangkan falsafah hukum Islam diperjelaskan secara luas dan khusus kerana di kalangan orang Melayu banyak kekeliruan tentang Islam berlaku.

Beliau menyorot keadaan ini berlaku sebagai kejayaan orang Kristian melemahkan umat Islam setelah orang Kristian mendapat pangalaman dari Perang Sabil selama lebih 190 tahun.

Katanya, sungguhpun tentera Kristian kalah dalam peperangan itu, tetapi mereka menang dalam pengalaman. Mereka dapati Islam kuat kerana berpegang pada Qur’an.

“Pengalaman yang mereka dapat dijadikan strategi untuk menang terhadap Islam. Usaha mereka buat supaya kefahaman orang Islam terhadap Qur’an diputuskan,” katanya.

Usaha sedemikianlah yang mereka lakukan dengan mengadakan berbagai-bagai persidangan, perbincangan dan gerak kerja dari dulu hingga sekarang supaya orang Islam terputus daripada memahami Qur’an, jelas beliau.

Akibatnya kita dapati orang Melayu Islam takut tersilap apabila menjalankan rukun sembahyang, puasa dan haji tetapi apabila disuruh laksanakan hudud mereka berani sekali menentang, tegas beliau.

Seterusnya beliau menjelaskan hudud mempunyai lima tujuan iaitu menjaga agama maka dilarang murtad, memelihara harta maka dilarang mencuri, memelihara akal maka dilarang mengambil arak, memelihara keturunan maka dilarang berzina dan memelihara diri maka dilarang membunuh.


HOME