Make your own free website on Tripod.com

Isu murtad: Kacau bilau bukan alasan untuk tidak laksanakan hukum Allah

YANG Amat Berhormat Menteri Besar Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan setiap umat Islam tidak memandang remeh terhadap isu murtad yang sedang menular.

Ketika memberi jawapan kepada persoalan itu yang ditimbulkan oleh hadirin pada Majlis Perjumpaan Hari Raya dan Dialog Pimpinan Kerajaan Negeri Dengan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan di Hotel Perdana pada malam 2 Syawal, beliau berkata, sebagai umat Islam, isu itu wajib dipandang serius dan diambli peduli lebih-lebih lagi Islam sebagai agama rasmi.

“Kalau soal kegawatan ekonomi dan kejatuhan nilai RM begitu merunsingkan semua pihak dan pelbagai langkah bagi pemulihannya dibuat, kenapa pula usaha-usaha yang serupa tidak boleh dilakukan terhadap kes murtad sedangkan pembendungannya adalah dituntut oleh pemilik agama Islam, yakni Allah,” tegasnya.

Beliau tidak bersetuju jika ada usaha-usaha dibuat oleh mana-mana pihak bagi menutup kes murtad atas alasan apa sekalipun kerana umat Islam sejati tidak boleh merasa gementar apatah lagi meramalkan kemungkinan akan berlaku kacau-bilau kerana melaksanakan hukum Allah.

"Jika umat Islam dengan kuasa undi milik mereka memilih kerajaan yang takut untuk melaksanakan hukum Allah, termasuk bimbang akan timbul huru-hara sekiranya isu murtad ditangani berdasarkan hukum Allah, secara tidak langsung  mereka akan turut menanggung dosa jika kes-kes murtad dipandang remeh dan tidak diambil peduli, apatah lagi jika kes itu terus berleluasa,” tambah Tuan Guru Menteri Besar. 


HOME