Make your own free website on Tripod.com

Kerajaan-kerajaan Negeri dan Pusat patut ambil inisiatif bendung murtad

SEMUA kerajaan negeri hendaklah mengambil inisiatif bersama dengan kerajaan pusat bagi membendung gejala murtad.

Demikian saranan YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika mengulas soalan pemberita tentang  seorang gadis Islam dari Johor dikatakan murtad apabila berkahwin dengan pemuda Kristian Katholik, selepas upacara penyampaian kuih hari raya kepada pasukan keselamatan di Bilik Gerakan Negeri pada 26 Januari lalu.

Beliau juga mahukan langkah-langkah diambil tanpa sebarang tolak ansur bagi memastikan yang telah murtad kembali bertaubat.

“Tidak ada istilah terlambat bagi membetuli kes-kes kesalahan dalam Islam,” katanya.
Beliau menegaskan keadaan sedemikian tidak sepatutnya berlaku di dalam sebuah negara yang agama rasminya Islam.

Beliau tidak bersetuju dengan pendirian seorang menteri yang mahukan kes itu tidak diperbesarkan oleh pihak media .

Katanya, jika kes berkenaan ditutup atau tidak diambil peduli, maka semua pihak akan dianggap bersubahat sedangkan kes murtad boleh membawa kepada hukuman bunuh, membuktikan dosanya teramat besar.

Katanya, kerajaan tadbirannya yang berslogankan Membangun Bersama Islam telah melaksanakan apa yang termampu dalam bentuk dakwah dan pembangunan insan dengan memperuntukkan lebih RM51 juta setahun bagi kerja dakwah Islamiyah  termasuk membendung kes-kes tergelincir dari landasan Islam dan  murtad.

“Tetapi pada masa ini tidak ada kuasa bagi kerajaan negeri untuk menjatuhkan hukuman kerana kuasa perundangan adalah milik kerajaan pusat,” jelas beliau.


HOME