Make your own free website on Tripod.com

Kelantan - New South Wales tandatangani persefahaman

KELANTAN kini mempunyai persefahaman dalam kerjasama perdagangan dan pelaburan dengan Kerajaan New South Wales (NSW), Australia.

Tandatangan memorandum persefahaman ini bagi pihak Kerajaan Kelantan dilaksanakan oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat pada 16 Februari lalu dalam satu majlis di Macquarie Tower, Sydney, NSW.

Manakala bagi pihak Kerajaan New South Wales pula memorandum ditandatangani oleh Ketua Kerajaan Majlis Perhimpunan NSW, Michael Egan.  Beliau ialah juga Bendahari, Menteri Pembangunan Negeri dan Naib Presiden Majlis Perhimpunan (Parlimen) New South Wales.

Berikutnya, dalam majlis yang lain pada hari yang sama YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar telah menyerahkan surat perlantikan kepada Peter Anderson bagi menasihati dan mewakili Kelantan dalam perdagangan dan pelaburan dengan New South Wales/Australia.

Melalui persefahaman dan kerjasama dengan Kerajaan New South Wales ini, Kelantan berharap dapat meningkatkan kegiatan dan pelaburannya dalam bidang pertanian, perternakan dan perlombongan emas.

YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar dan rombongan seramai sembilan orang berada di Sydney, New South Wales, Australia selama tujuh hari.  Rombongan bertolak dari Kota Bharu pada 11 Februari dan pulang pada 19 Februari lalu.

Mereka yang mengiringi YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia, YB Haji Ahmad Yakub; Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, (PKINK), Haji Wan Zulkifle bin Wan Yusoff; Ahli-ahli Lembaga Pengarah PKINK, Haji Yusof Noor dan Haji Abdul Fatah Haron; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Pinang, Datuk Annuar Osman; Ketua Pegawai Eksekutif Kelstone Sdn. Bhd, Azhar Abdul Jalil dan Pengurus Kanan Kelstone Sdn. Bhd., Amran Ahmad dan Ustaz Nik Razi bin Nik Mat.

Kelstone Sdn. Bhd. telah mengadakan perbincangan dengan Austral Malaysian Mining Ltd. tentang projek perlombongan emas primer di Pulai, Gua Musang.

Selama di New South Wales, rombongan YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar mendapat peluang meninjau berbagai-bagai perusahaan melibatkan pengeluaran dan pemasaran makanan.
Antaranya, rombongan Kelantan ini telah melawat pusat pengeluaran ayam Chickadee kepunyaan seorang Islam, Robert Ridzuan Wachjo; melawat pasar borong ikan di Sydney dan pasar pertanian Sydney di Flemmington.

Sebuah kilang pemerosesan kayu-kayan turut dilawati oleh rombongan.

Presiden (Speaker) Majlis Perundangan NSW, Max Willis, dan Timbalan Speaker, Bryce Gaudry, meraikan YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar dan rombongan dengan majlis makan tengahari sempena lawatan rombongan ke bangunan Parlimen New South Wales di Sydney.

Sebagai penghormatan, YAB Tuan Guru telah diberi peluang oleh Presiden Majlis untuk memikul cokmar Parlimen yang dianggap amat bersejarah. Cokmar itu telah dihadiahkan oleh kumpulan Yahudi kepada Parlimen New South Wales.

Sebagai pemimpin ulama, YAB Tuan Guru telah diberi penghormatan apabila Majlis Ugama Islam Australia dan berbagai-bagai pertubuhan Islam di New South Wales telah menjemput dan meraikan beliau sambil mendengar taklimat, berbincang, beramah-mesra dan bersolat jamaah.  Bukan sahaja para pelajar dan pertubuhan anak Malaysia yang meraikan YAB Tuan Guru tetapi juga pertubuhan Islam daripada pelbagai bangsa seperti Turki, Arab Lebanon dan Indonesia.

YAB Tuan Guru juga telah diberi penghormatan untuk berucap menerusi sebuah stesyen radio.


HOME