Make your own free website on Tripod.com

Tugas pasukan keselamatan hendaklah selari dengan tuntutan Islam

KERAJAAN Kelantan amat menghargai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan dan sumbangan kuih hari raya bukanlah selayaknya dianggap sebagai suatu bentuk pembalasan budi kerana ia tidak berpadanan dengan jasa bakti yang disumbang. Sebaliknya kuih-kuih hari raya yang disumbangkan itu lebih berbentuk tanda ingatan dan ikatan kemesraan sahaja.

Demikian ucapan YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Kelantan kepada anggota-anggota tentera yang menerima sumbangan juadah dan kuih hari raya di Bilik Gerakan Negeri, Kota Darulnaim, Kota Bharu pada 26 Januai lalu.

Beliau juga menyeru anggota pasukan keselamatan bahawa di samping melaksanakan tugas suci menjaga keselamatan dan keamanan negara, pasukan keselamatan hendaklah memastikan agar tugas yang dijalankan selari dengan tuntutan Islam supaya ia menjadi benar-benar suci dan tidak ada kesucian sebenarnya jika kerja yang dilakukan bukan kerana Allah atas nama Islam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Haji Muhamad Daud dan YB Haji Abdullah Yaakob di samping pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Turut hadir ialah ahli-ahli Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan (PURNAMA), diketuai isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Ishak, yang bertanggungjawab menyediakan 4,400 bungkusan kuih bagi disumbangkan kepada anggota pasukan keselamatan pada hari raya kali ini.

Panglima 8 Briged, Brig. Jen. Datuk Husainy Hashim menerima sumbangan 1,941 bungkusan kuih untuk diagih-agihkan kepada anggota tentera dibawah Markas 8 Briged; Timbalan Ketua Polis Kelantan Penolong Pesuruhjaya Kanan II Nordin Zakaria menerima 1,312 bungkusan, Pegawai Memerintah KD Marikh, Komander Haji Wan Abdul Rahman Mustaffa menerima 320 bungkusan untuk Markas Wilayah Laut Satu berpengkalan di Tanjung Gelang, Kuantan.

Penolong Penguasa Polis, Mohd. Husin Abdun, mewakili Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan AM (PGA) Briged Tenggara menerima 1,941 satu bungkusan kuih dan Koamnder Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan, Penolong Penguasa Polis Mohd. Yusoff Desa, menerima 194 bungkusan kuih bagi diagih-agihkan kepada anggota-anggota masing-masing yang terpaksa bertugas pada hari raya ini.


HOME