Make your own free website on Tripod.com

Dasar pendidikan Kelantan tidak asingkan kepakaran khusus dan agama

PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan, Dakwah dan Penerangan YB Haji Mohamad Daud berkata kerajaan negeri Kelantan tidak mengabaikan bidang pendidikan kepakaran dan tidak semata-mata memberi tumpuan khusus kepada pendidikan dakwah Islamiah.

Katanya, bagi menghadapi era teknologi tinggi, aliran sains turut diwujudkan di Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan, iaitu dua buah sekolah Kerajaan Kelantan yang dikelola oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Beliau berkata demikian ketika diminta penjelasan oleh hadirin pada Majlis Perjumpaan Hari Raya Dan Dialog Menteri Besar Dan Pimpinan Kerajaan Negeri Dengan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan pada 2 Syawal lalu.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan di Hotel Perdana, Kota Bharu

“Langkah itu adalah sebagai persediaan untuk melahirkan golongan profesional seperti doktor, jurutera dan sebagainya yang bukan sahaja pakar dalam bidang berkenaan tetapi juga pakar dalam bidang keagamaan. Seboleh-bolehnya Kelantan tidak mahu kalangan yang pakar dalam sesuatu bidang tetapi terasing dari Islam,” tegasnya.

Sekolah vokasyional yang berteraskan agama turut diwujudkan bermula di Sekolah Menengah Agama Amir Inderaputera, Bachok, katanya.

Pusat pengajian khusus bagi melahirkan bakal ulama dan tahfiz al-Quran telah pun wujud seperti di Pulai Chondong, Machang yang terbukti mampu melahirkan para tahfiz dan ilmuan Islam yang kelak dapat bergerak bukan sahaja sebagai tahfiz tetapi juga berkebolehan meningkat menjadi ulama.


HOME