Make your own free website on Tripod.com

Musuh buat strategi  pecah belahkan pimpinan Kerajaan Kelantan

YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar mengingatkan bahawa pihak lawan memang sentiasa berusaha meleraikan ikatan perpaduan yang terjalin di kalangan pimpinan Kerajaan Kelantan sekarang.

Sebagai menjawab pertanyaan seorang peserta di  Majlis Perjumpaan Hari Raya dan Dialog Pimpinan Kerajaan Negeri Dengan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan di Hotel Perdana pada malam 2 Syawal lalu, Tuan Guru berkata usaha sedemikian merupakan suatu strategi yang, jika gagal dihalang, akan memusnahkan kerajaan sekarang.

Ia dapat dibendung dan ditangkis jika masing-masing ikhlas berjuang dan berkhidmat kerana Allah, katanya.

Peserta berkenaan bertanyakan tentang keadaan di dalam Kerajaan Kelantan sekarang kerana ada dakwaan hanya Tuan Guru Menteri Besar sahaja yang boleh dipercayai sedangkan barisan pimpinan lain sekarang tidak jauh bezanya dengan pimpinan kerajaan yang terdahulu.

YAB Tuan Guru  Dato’ Menteri Besar menegaskan setiap orang yang dipanggil anggota kepimpinan kerajaan dari Menteri Besar, anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai tadbir sehinggalah kepada budak pejabat adalah umpama satu anggota badan yang mempunyai fungsi dan kewajipan untuk melaksanakan tugas berdasarkan tuntutan agama di samping mendapat punca rezeki yang halal.
Jika ada yang lari daripada kewajipannya, maka bersedialah untuk menerima dosa dan pembalasan daripada Allah yang Maha Mengetahui apa yang zahir dan yang terselit di hati kecil hamba-Nya, tambah beliau.

Menjawab pertanyaan tentang kenyataannya bahawa ada di kalangan ahli parti yang dipengaruhi kebendaan dan kepentingan dunia, YAB Tuan Guru Menteri Besar yang juga Mursyidul Am Pas berkata kenyataannya itu dibuat pada bulan Ramadhan sebagai suatu peringatan supaya setiap ahli parti sentiasa beringat-ingat kerana tindak-tanduk mereka mahu tidak mahu boleh menjejaskan kerajaan.

“Sesebuah kerajaan akan musnah apabila para pendokongnya mengutamakan keduniaan melebihi kepentingan tuntutan agama. Kegawatan ekonomi dan kejatuhan nilai RM adalah di antara contoh yang boleh dijadikan iktibar dan teladan. Atas faktor itulah saya selaku ketua saf pentadbiran membuat teguran dan memberi ingatan kerana itu adalah kewajipan saya walaupun pahit bagi saya dan anggota pati serta saf pimpinan kerajaan,” tegasnya.


HOME