Make your own free website on Tripod.com

PERKIM sudah mula usahakan tanah pemberian Kerajaan Kelantan

HASIL sumbangan tanah oleh kerajaan Kelantan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) negeri Kelantan kini membuka ladang kelapa sawit seluas 80 hektar (200 ekar) di Ulu Kelantan, khusus bagi penempatan saudara baru yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.
Pengerusi Biro Kebajikan PERKIM Kelantan, Dato’ Ariffin Daud, berkata pembukaan ladang itu, yang sudah pun mencapai tahap menanam, diwujudkan hasil keprihatinan dan ambil peduli kerajaan negeri terhadap nasib kalangan yang baru memeluk Islam.

“Apabila ladang berkenaan mula mengeluarkan hasil, saudara baru yang berkelayakan akan ditempatkan di ladang tersebut.  Ini bukan sahaja untuk membolehkan mereka menikmati hasil kelapa sawit tetapi juga menjadikan mereka sebagai pengusaha tanaman lain seperti sayur-sayuran dan juga ternakan yang dijadikan sumber pendapatan sampingan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyampaian sumbangan dan zakat melalui PERKIM di JKR 10 yang dihadiri sama oleh Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan isterinya, Datin Tuan Sabariah Ishak.

Selain itu, tambah Dato’ Ariffin lagi, sejajar dengan tuntutan Islam supaya umatnya mencari rezeki seolah-olah tidak akan mati selama-lamanya, PERKIM juga memberi penekanan kepada projek-projek pengeluaran pertanian dan ternakan supaya saudara baru tidak hidup merempat semata-mata kerana menjadi pemeluk agama Islam.

Projek-projek itu ialah penanaman lada yang tumpuan permulaannya membabitkan tanah seluas 50 ekar di Pulai Chondong dan Labok di Jajahan Machang. Projek yang serupa akan turut dilaksanakan di Jajahan Bachok, tambah beliau.

Dalam bidang ternakan pula, PERKIM memulakannya dengan ternakan puyuh di kawasan sekitar rumah saudara baru dan ternakan lembu di ladang-ladang kelapa sawit.

Projek-projek itu di samping untuk mengukuhkan ekonomi keluarga saudara baru, adalah juga bertujuan untuk mengukuhkan kewangan pertubuhan bagi faedah mereka yang bakal dan baru menjadi saudara baru.
 

Sempena majlis itu Menteri Besar menyampaikan sumbangan zakat PERKIM kepada saudara baru muslimin manakala isteri beliau menyampaikan sumbangan dan zakat kepada saudara baru muslimat.  


HOME