Make your own free website on Tripod.com

Pembangkang turut anggotai Maten Kelantan

MAJLIS Tindakan Ekonomi Negeri (Maten) Kelantan telah dibentuk dengan keanggotaannya tidak dimonopoli oleh pihak kerajaan sahaja.

Sikap Kerajaan Kelantan ini menjadikannya lebih telus dalam menangani masalah kegawatan ekonomi berbanding dengan Maten di peringkat pusat yang tidak mempunyai ahli daripada pembangkang.

Ketika mengumumkan nama anggota Maten Kelantan kepada akhbar selepas mesyuarat Exco pada Rabu, 14 Februari lalu, YB Timbalan Menteri Besar Kelantan, Tuan Haji Abdul Halim Abdul Rahman menyebut Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, YB Dato’ Zainal Abidin Abd. Kadir (ADUN - Melor) dilantik sebagai anggota Maten Kelantan.

Selain kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang dilantik, ahli-ahli dari badan berkanun, institusi pengajian tinggi dan perniagaan turut dilantik.

Mereka ialah Pengerusi Eksekutif Mara, Datuk Nadzmi Salleh; Ketua Jabatan Ekonomi Analisa Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Rogayah Mohamad; Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Wan Zulkefli Wan Yusoff; Presiden Dewan Perniagaan Melayu Kelantan, Presiden Dewan Perniagaan Cina Kelantan dan Presiden Dewan Perniagaan India Kelantan.

Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan juga dilantik menganggotai Maten Kelantan.
Pengerusi Maten Kelantan ialah YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar dan Timbalannya ialah YB Haji Abdul Halim.

Maten dibentuk bagi mengatasi kegawatan serta ruduman ekonomi negara sekarang.
Menurut Ustaz Halim, Maten Kelantan akan lebih mengambil pendekatan pertanian dalam mengatasi kegawatan ekonomi.

Beliau menyebut antara langkah yang akan diambil ialah mengoptimakan kegunaan tanah terbiar di negeri ini bagi tujuan pertanian.

Tumpuan adalah kepada mengeluarkan bahan makanan utama yang selama ini diimport mengikut kesusaian dengan keadaan tempatan.


HOME