Make your own free website on Tripod.com
Amanah Saham Kelantan Secara Islam (AKSI) akan dilancar
Kerajaan Negeri Kelantan akan melancarkan Amanah Saham Kelantan Secara Islam (AKSI) yang akan memberikan peluang pelaburan kepada rakyat khususnya mereka yang beragama Islam. Skim AKSI tersebut akan dilancarkan sebaik sahaja permit operasinya diluluskan oleh Kerajaan Pusat.

Demikian diumumkan oleh Menteri Besar Kerajaan Negeri Kelantan, YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, selepas Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 28 Disember 1994 lalu.

Menurut YAB Tuan Guru lagi, AKSI akan mempunyai modal berbayar RM300 juta yang diperolehi daripada pelbagai pihak termasuk badan-badan koporat dan Kerajaan. Operasinya diharap akan bermula pada Februari 1995.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, YB Ustaz Yahya Othman, telah diberi tanggungjawab sebagai pengerusi sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengkaji produk AKSI yang bertepatan dengan syariat.

Bagi meneruskan kerja-kerja perlaksanaannya seperti permohonan permit, sebuah Jawatankuasa Pemandu telah dibentuk dan dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

“Kita berharap akan dapat melancarkannya dalam bulan Ramadhan (Februari 1995) dan mudah-mudahan tiada sebarang halangan daripada Kerajaan Pusat untuk melancarkan saham ini,” kata YAB Tuan Guru Menteri Besar lagi.