Make your own free website on Tripod.com
Terjemahkan dasar Islam Kerajaan Kelantan menjadi program dan aktiviti
(Sedutan Perutusan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Haji Wan Hashim Bin Haji Wan Daud sempena menyambut Tahun 1995)

Saya selaku Ketua Pentadbiran Negeri, ingin merakamkan ucapan ‘Selamat Tahun Baru 1995’ dan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan Kerajaan yang telah bekerja kuat melaksanakan tanggungjawab sepanjang tahun 1994 dan semoga Allah SWT. memberi ganjaran pahala terhadap ibadah yang telah tuan/puan sempurnakan itu.

Sebagai penjawat awam, kita bertanggungjawab kepada Al-Khaliq (Allah SWT.), kepada Kerajaan dan kepada rakyat. Tanggungjawab kepada Al-Khaliq ialah dengan mengabdikan diri kepada-Nya manakala tanggungjawab kepada Kerajaan ialah dengan melaksanakan segala dasar dan program yang telah diputuskan oleh Pemerintah. Segala tenaga dan masa hendaklah dicurahkan ke arah meningkatkan tahap sosio-ekonomi Negeri ini. Kepada masyarakat pula, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan perkhidmatan yang ‘people centric’ dan memuaskan hati mereka.

Mengikut pemerhatian saya, sejak akhir-akhir ini Kerajaan Negeri telah banyak membuat ajakan yang melibatkan dasar dan institusi bagi meletakkan asas pentadbiram awam Negeri Kelantan yang lebih Islamik. Bagi tahun 1995, adalah menjadi harapan saya semoga kita sebagai pelaksana dasar menterjemahkan perubahan-perubahan itu dalam bentuk program dan aktiviti yang menjuruskan ke arah peningkatan pembangunan Negeri dan kesejahteraan rakyat. Agenda ini hendaklah menjadi agenda utama bagi semua jabatan dan agensi Kerajaan di Negeri ini. Saya optimis bahawa kakitangan Kerajaan di Negeri ini mampu merealisasikan wawasan ini.

Sepanjang tahun lepas, perkhidmatan awam di Negeri Kelantan adalah baik dan memuaskan. Namum demikian, pada hemat saya perkhidmatan kita masih boleh lagi dipertingkatkan supaya ianya bukan sahaja lebih cekap tetapi lebih berkesan. Untuk mencapai matlamat ini, kakitangan awam hendaklah meningkatkan bukan sahaja produktiviti tetapi juga kualiti. Strategi kerja bukan sekadar reaktif tetapi mestilah proaktif dan bukan sahaja berinsentif tetapi berinovatif. Sahsiah kita hendaklah bukan sahaja tinggi dari segi ‘intergrity’ tetapi juga ‘accountability’. Untuk mewujudkan kualiti kerja yang baik ini, agensi-agensi Kerajaan sepatutnya mengadakan lebih banyak program-program ‘human resource development’.

Saya menyeru kepada semua kakitangan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan supaya bersatu tenaga dan fikrah bagi mewujudkan satu pasukan birokrasi yang kuat dan mampu melaksanakan tanggungjawab kepada Kerajaan dan rakyat.

Marilah sama-sama kita berdoa kehadrat Allah S.W.T. semoga kita dilanjutkan usia dan diberi kekuatan agar kita dapat meneruskan tanggungjawab kita dengan lebih cemerlang dan mendapat keredhaan-Nya.