Make your own free website on Tripod.com
Pemberian hak milik tanah tidak dibuat kerana pertimbangan politik
Kerajaan Negeri Kelantan tidak mempunyai motif politik dalam pemberian hak milik tanah kerana hak milik tanah akan diberikan kepada seluruh penduduk di negeri ini yang berhak mendapat tanah tanpa mengira fahaman politik pemohon.

Demikian ditegaskan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Tuan Haji Abdul Halim Abdul Rahman di Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah Sementara kepada 78 orang peneroka tanah di penempatan nelayan Kandis.

 “Ini untuk membuktikan bahawa Kerajaan Angkatan bersikap adil dan tidak pilih kasih,” kata beliau lagi.

Langkah ini diambil semata-mata kerana Kerajaan Negeri Kelantan sekarang amat prihatin terhadap rakyatnya yang sudah lama meneroka tanah sebagai keperluan asas mereka dan kerajaan sama sekali tidak akan membebankan rakyat dengan masalah belum mendapat hak milik tanah.

Sebaliknya, pihak Kerajaan Kelantan akan berusaha menyelesaikan soal hak milik tanah mereka secepat  mungkin.

Menyentuh mengenai penerokaan tanah, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri akan menyelesaikan semua kes berkaitan tanah yang diterokai oleh rakyat.
Ini kerana Kerajaan Negeri menganggap tanah itu adalah harta rakyat lebih-lebih lagi terdapat tanah yang telah diterokai serta diusahakan lebih daripada 20 tahun.

Walau bagaimanapun rakyat yang masih belum mendapat hak milik tanah hendaklah bersabar kerana Kerajaan Negeri tetap akan mengotakan janjinya.

Beliau juga menyeru kepada rakyat yang telah menerima hak milik tanah agar dapat memanfaatkan tanah tersebut sebaik mungkin.