Make your own free website on Tripod.com
CATATAN KELANTAN
MADRASAH PAK DA HAJI AHMAD DIBINA SEMULA

Kubang Kerian -  Madrasah Pak Da Haji Ahmad di Kampung Chicha Hulu yang musnah dalam kebakaran tahun lepas telah dibina semula dengan perbelanjaan hampir RM 20,000.00. Bantuan membina semula madrasah itu diperolehi daripada Tabung Serambi Mekah sebanyak RM 8,000.00 dan selebihnya daripada orang ramai.

SUMBANGAN UNTUK MANGSA KEBAKARAN

Kota Bharu - YB Dato’ Haji Halim Mohamed, ADUN Bunut Payong, telah menyampaikan bantuan Tabung Serambi Mekah kepada 4 keluarga mangsa kebakaran di Wakaf Siku baru-baru ini. Selain sumbangan Tabung Serambi Mekah, YB Dato’ Halim turut menyampaikan sumbangan pribadi dan bantuan daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) bagi meringankan beban mangsa kebakaran tersebut. Ahli Parlimen Kota Bharu, YB Pn. Hajjah Ilani Dato’ Isahak dan orang perseorangan turut menyumbang wang.

LARANGAN PASANG POSTER PARTI POLITIK

Kota Bharu -  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam sekitar, YB Dato’ Haji Halim Mohamed, telah mengarahkan Majlis Perbandaran Kota Bharu dan semua Majlis Daerah agar tidak membenarkan pemasangan poster semua parti politik sehingga 2 minggu sebelum pilihanraya. Mana-mana poster parti politik yang telah dipasang akan diturunkan berkuatkuasa 1 Januari, 1995.  Bagaimanapun kebenaran diberikan kepada parti politik memasang bendera di atas pokok.  Pembinaan pintu gerbang hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada  pihak Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah.

DUA DESA TAQWA DI TUMPAT

Tumpat -  Kampung Padang Tembesu dan Kampung Mokngenalan, Tumpat telah diisytiharkan sebagai Desa Taqwa baru-baru ini. Melalui program tersebut, 14 buah rumah rakyat miskin telah dibaik pulih dan 20 buah basikal telah diberikan kepada pelajar miskin di kedua-dua kampung tersebut. Sumbangan untuk memajukan desa itu telah disampaikan oleh YB Haji Wan Jamil Wan Mahmood, Ahli Parlimen Tumpat, dan Ketua Jajahan Tumpat, YABrs. Haji Nordin Abdul Manaf.

KURSUS KELUARGA BAHAGIA

Kota Bharu - Unit Halaqat Negeri Kelantan akan menganjurkan ‘Kursus Penghayatan Islam dan Keluarga Bahagia’ di seluruh Kelantan pada tahun 1995. Kursus ini bertujuan membentuk keperibadian rakyat Islam Kelantan khususnya golongan remaja, pelajar dan ibu bapa.

QARDHU HASSAN AKAN DILANCAR

Kota Bharu - Kerajaan Negeri akan menubuhkan ‘Skim Pinjaman Qardhu Hassan’ tahun ini bagi memberikan kemudahan pinjaman tanpa faedah dan serta merta kepada golongan yang berpendapatan rendah. Peruntukan RM 10,000 hingga RM 15,000 akan disediakan bagi setiap kawasan.

KAKITANGAN KERAJAAN NEGERI DAPAT PINJAMAN TANPA FAEDAH

Kota Bharu - Mulai 1 Januari 1995, Kerajaan Negeri Kelantan akan mengeluarkan pinjaman tanpa faedah kepada kakitangannya yang berkelayakan bagi pinjaman perumahan dan kenderaan. Apabila skim ini dilaksanakan, Kerajaan Negeri akan kehilangan pendapatan RM800,000 setahun  kerana bayaran perkhidmatan sebanyak empat atau dua peratus terhadap pinjaman kakitangan dihapuskan. Walaubagaimanapun skim pinjaman ini diujudkan untuk  mengutamakan kebajikan para kakitangan Kerajaan Negeri.

HUSAM SAMAN AL-HAQ

Kota Bharu -  Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Haji Husam Musa telah menyaman al-Haq, terbitan Barisan Nasional (BN) Kelantan, berikutan berita yang didakwanya palsu dan memalukannya disiarkan oleh al-Haq. Dakwaan akhbar berkenaan bahawa beliau tidak membayar hutang pembelian komputer kepada Global Scope didakwanya tidak benar.

Haji Husam menamakan enam defendan iaitu Global Scope System Sdn. Bhd., Ketua Pengarang Jabatan Penerangan BN Negeri Kelantan, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Ultimate Print.
Tindakan beliau juga bagi menghentikan al-Haq daripada terus menyiarkan berita-berita yang berbentuk fitnah terhadap pemimpin dan Kerajaan Negeri Kelantan.