Make your own free website on Tripod.com
Tidak wajar kritik usaha Kerajaan Kelantan gantikan tanaman tembakau
Kerajaan Kelantan akan melaksanakan kempen secara besar-besaran bagi menggalakkan penanam tembakau sekarang menukarkan tanaman mereka kepada ubi kayu.  Tanaman ubi kayu  didapati boleh memberi pulangan yang seimbang dengan tembakau.

Bagi mencapai tujuan itu, Kerajaan Kelantan bekerjasama dengan pihak swasta bagi membina sebuah kilang memproses ubi kayu untuk menghasilkan kanji.

Demikian dijelaskan oleh Menteri Besar Kerajaan Negeri Kelantan, YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika berucap merasmikan Pelancaran Kempen Anti Merokok Peringkat Negeri Kelantan pada 1 Januari, 1995 di Gelanggang Seni dan Dewan Perkumpulan Perempuan Kelantan (PPK), Kota Bharu.

Menyentuh tentang tabiat merokok YAB Tuan Guru Menteri Besar juga turut menegur sikap ‘double standard’ Kerajaan Pusat yang mengharamkan amalan merokok di tempat awam tetapi mengkritik usaha Kerajaan Negeri Kelantan untuk mengurangkan tanaman tembakau dengan menggantikannya dengan tanaman lain.

Selain itu, beliau juga membidas tentang adanya iklan jenama rokok masih dimuatkan dalam media.
“Kerajaan Pusat membelanjakan wang yang banyak bagi menjaga kesihatan rakyat tetapi dalam masa yang sama menggalakkan penanaman tembakau. Selagi sikap ini diteruskan, kempen untuk menghentikan tabiat merokok tidak akan berjaya,” katanya.

Kerajaan Negeri Kelantan memandang serius gejala tabiat merokok yang boleh mendatangkan pelbagai penyakit dan merugikan di kalangan rakyat yang merokok. Justeru itu, Kerajaan Negeri berusaha menyedarkan rakyatnya tentang bahaya merokok dengan mencari tanaman alternatif untuk menggantikan tembakau.

“Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan kesihatan rakyat sama ada dari segi tubuh badan, fizikal dan kegiatan hidup.  Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri bercadang memperluaskan projek tanaman ubi kayu dan tanaman lain bagi menggantikan tembakau,” kata beliau lagi.

Menurut YAB Tuan Guru lagi, rokok adalah sama dengan dadah.  Seseorang itu mungkin bermula daripada amalan merokok untuk meningkat kepada penagihan dadah.

Di Malaysia hari ini terdapat 2.6 juta perokok yang membelanjakan RM9.1 juta sehari atau RM 332.6 juta setahun. Perbelanjaan ini tidak termasuk perbelanjaan perubatan kepada perokok yang menghidapi pelbagai penyakit akibat merokok seperti sakit jantung, barah paru-paru, batuk, selsema, lelah dan sebagainya.

“Dengan meninggalkan rokok, perbelanjaan yang amat besar itu boleh digunakan untuk membangunkan rakyat yang masih dalam kedhaifan. Seseorang yang bijak menggunakan akal, tidak ikut perasaan dan pandai menggunakan wang tanpa membazir, sudah tentu tidak akan menghisap rokok,” tambah beliau.