Make your own free website on Tripod.com
Selesai saja bayaran premium, suratan hak milik terus diserah
Kerajaan Negeri Kelantan amat prihatin terhadap rakyat yang tidak bertanah. Ini kerana tanah adalah merupakan aset penting khususnya untuk digunakan sebagai tempat sumber rezeki dan tempat bermastautin. Justeru itulah, Kerajaan Negeri berusaha menyelesaikan permohonan hak milik tanah secepat mungkin.

Bagi meyakinkan rakyat tentang kesungguhan Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Jajahan Machang telah melaksanakan satu program inovasi di mana hak milik tanah (QT) diserahkan kepada pemohon tanah yang telah diluluskan pada hari yang sama pemohon membuat bayaran jelas premiun tanah.

Demikian dijelaskan oleh YABrs, Ketua Jajahan Machang, Tuan Haji Kamaruddin Bin Haji Mohd. Zain ketika berucap di Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah kepada 154 pemohon di Kampung Che Wal, Mukim Kuala Krai.

“Pemohon diberi masa satu setengah bulan untuk menjelaskan premiun mereka dan mereka juga boleh menjelaskan premiun tanah pada hari majlis penyampaian hak milik tanah,” kata beliau lagi.
“ Selain memberi kemudahan kepada rakyat, Kerajaan Negeri juga dapat menambah pendapatan hasil tanah. Pada tahun 1990, hasil tanah yang sepatutnya dipungut di Jajahan Machang ialah RM707,360.10, manakala pada tahun 1994 ialah RM750,943.00, bertambah sebanyak RM43,582.90 dan pada tahun ini kita telah berjaya memungut RM 604,601.00 cukai semasa dan sebanyak RM156,600.00 cukai tertunggak daripada jumlah yang patut dipungut RM 222,709.20 (tunggakan),” jelas beliau.

Beliau juga menjelaskan, sebanyak 154 permohonan bagi hak milik tanah di kompartment 8, 9 dan 10 Kampung Che Wal telah diluluskan dengan keluasan tanah lebih kurang 2 ekar bagi setiap pemohon.