Kota Bharu - Kerajaan Negeri Kelantan mempunyai tujuh balai pameran atau muzium yang dibuka untuk kunjungan para pelawat ke negeri ini bagi memberi peluang kepada mereka mengenali lebih dekat kebudayaan dan semua artifak serta khazanah yang menjadi kebanggaan penduduk. Antara muzium-muzium yang dibuka ialah Muzium Negeri, Muzium DiRaja, Muzium Islam, Muzium Kraftangan, Memorial Perang Dunia Kedua, Balai Senjata dan Muzium Adat Istiadat DiRaja Kelantan.
KADAR JENAYAH TURUN DI KELANTAN
Kota Bharu - Petunjuk Kadar Jenayah di Kelantan adalah kesebelas terendah berbanding negeri-negeri lain. Negeri yang paling tinggi kadar jenayah ialah Selangor, diikuti oleh Kuala Lumpur, Johor, Perak, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan. Sepanjang tahun 1994, Kelantan mencatat 1,779 kes berbanding 1,912 kes pada tahun 1993.
KESEDAR BELUM LANTIK WAKIL KERAJAAN
Kota Bharu - Menurut Setiausaha Kerajaan Kelantan, YB Haji Wan Hashim Wan Daud, Kerajaan Negeri masih belum menerima perlantikan rasmi wakilnya untuk menjadi Ahli Lembaga KESEDAR walaupun Kerajaan Negeri telah mencalonkan 3 nama kepada KESEDAR pada 18 Disember 1994 lalu. Sebarang keputusan mengenainya belum dibuat oleh pihak KESEDAR.
MANGSA KEBAKARAN DIBANTU
Tumpat - Enam mangsa kebakaran di Kampung Geting, Tumpat menerima sumbangan Tabung Serambi Mekah yang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Tuan Haji Abdul Halim Abdul Rahman.
SUNGAI SAM KAMPUNG TERBAIK
Kuala Krai - Kampung Sungai Sam telah dipilih sebagai pemenang Pertandingan Kampung Terbaik Seluruh Kelantan bagi tahun 1994 yang telah diistiharkan oleh YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan pada 21 Januari 1995 lalu.Antara kategori yang dimenangi ialah Kampung Terbaik, Aspek Penyertaan, Pertanian, Perikanan, Perkhidmatan Kesihatan dan kesihatan masyarakat.
KOTA DARULNAIM JADI DESTINASI PELANCONGAN
Kota Bharu - Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Tuan Haji Wan Hashim Wan Daud menyatakan Kerajaan Negeri Kelantan berhasrat untuk menjadikan Kompleks Kota Darulnaim yang menempatkan Pejabat Menteri Besar, Timbalan-Timbalannya, Exco Kerajaan Negeri serta pejabat-pejabat Kerajaan Negeri yang lain sebagai sebuah tempat tumpuan para pelancong samada dari dalam ataupun luar negeri. Langkah ini bagi membolehkan orang ramai mengunjungi kompleks tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan sahaja.
GOTONG ROYONG BINA SURAU
Tawang - Penduduk Kampung Pauh Sembilan telah mengadakan gotong-royong membina surau di kampung tersebut. Gotong-royong itu diadakan pada setiap hari jumaat bagi menyiapkan surau yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri dan juga sumbangan orang ramai. Terdahulu dari itu, dua buah jambatan dari Kampung Pauh Sembilan juga siap dibina secara gotong-royong.
AR-RAHN DI TANAH MERAH
Kota Bharu - Permodalan Kelantan Berhad (PKB) membuka sebuah lagi pajak gadai Islam atau Ar-Rahn di Tanah Merah, menjadikan pajak gadai kedua selepas operasi Ar-Rahn yang pertama di Kota Bharu. Ar-Rahn Tanah Merah telah beroperasi sejak 22 Januari lepas.
HASIL PADI MENINGKAT
Pasir Puteh - Timbalan Menteri Besar Kelanta, YB Tuan Haji Abdul Halim Ab. Rahman memberitahu sejak Kelantan ditadbir oleh Angkatan Perpaduan Ummah, hasil padi telah meningkat dari 125,000 metrik tan setahun kepada 331,600 metrik tan setahun. Keperluan rakyat Kelantan terhadap sumber makanan ini adalah 117,000 metrik tan setahun. Peningkatan hasil padi yang berlipat kali ganda dan melebihi keperluan rakyat Kelantan telah membolehkan hasil padi ini diekspot ke luar Kelantan.
JANUARI 1995 ELAUN IMAM NAIK
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri
Kelantan, YB Tuan Haji Yahya Othman memaklumkan para imam masjid mukim
di Kelantan akan menerima elaun antara yang tertinggi di Malaysia apabila
Kerajaan Negeri Kelantan menaikkan elaun semua imam termasuk Imam Tua,
Imam Muda dan Bilal di semua masjid-masjid dalam Negeri kelantan bermula
Januari 1995 ini.
Imam Tua akan menerima kenaikan elaun dari RM 200 sebulan kepada RM
300 sebulan; Imam Muda dinaikkan dari RM 140 kepada RM 210 sebulan; dan
Bilal dinaikkan dari RM 120 kepada RM 180 sebulan.
KELANTAN JADI CONTOH
Jertih, Terengganu - Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Haji Nik Ab. Aziz Nik Mat melahirkan rasa bangga di atas kesudian Kerajaan Negeri lain yang telah mencontohi Kelantan dalam pembinaan rumah untuk rakyat. Kerajaan Kelantan telah menetapkan pembinaan rumah mesti mempunyai 3 bilik bagi mengasingkan anak lelaki dan anak perempuan mengikut tuntutan Islam.