Make your own free website on Tripod.com
Sirat bermula dengan pencalonan
Suka saya membuat sedikit sorotan sejarah bermula dari titik pertama menjadi wakil rakyat.  Pada kira-kira 15 Disember 1996, ketika saya berada di Alor Star, Kedah, bagi menyediakan kursus motivasi kepada BERNAS bahagian utara, seorang pegawai BERNAS bertanyakan tentang satu
berita bakal calon di Pulai Chondong N-32 Kelantan kepada saya.

Daripada tiga nama yang disebut-sebutnya mengikut berita itu termasuklah nama Zulkifli Mamat, seorang pensyarah di Institut Teknologi Mara cawangan Kelantan.

Beliau minta pengesahan.  Saya cuba berdalih dengan mengatakan kalau sayalah yang dimaksudkan, mesti diletakkan ‘Haji’ pada pangkal nama dan orang bernama Zulkifli Mamat takkanlah satu saja.  Beliau kelihatan sangsi: percaya atau tidak dengan penjelasan saya itu.

Saya juga memberi alasan, kalaulah yang diberitakan itu tentang saya, takkan seorang bakal calon masih berada di Kedah sedangkan hari penamaan calon pada 26 Disember 1996.  Saya akan berada di Kedah sehingga 18 Disember 1996 kerana itulah jadualnya.   Mungkin beliau terima alasan itu, mungkin tidak, tetapi perbualan kami berhenti di situ.

Sepanjang saya mengendalikan majlis atau sessi motivasi kepada BERNAS bagi kawasan  timur sebelumnya - secara separuh masa hampir setahun lamanya - banyak juga  pujian daripada peserta dan pegawai atasan yang ditujukan kepada saya.

Masa begitu cepat berlalu.  Didapati memang benar berita daripada akhbar tempatan tersebut. Saya pulang ke rumah pada 18 Disember 1996 dan pada 20 Disember 1996 saya dijemput oleh pimpinan di Kota Bharu. Pihak pimpinan mahu kepastian: sekiranya saya dicalonkan oleh parti,  sanggupkah saya berhenti kerja? Saya minta tempoh untuk berbincang dengan ibu dan keluarga kerana ini satu
keputusan yang penting.

Tergambar dalam fikiran saya: kepastian yang dipinta sebenarnya sama ada saya sanggup menghadapi kemungkinan tidak menang kerana kesannya adalah kehilangan sumber pendapatan gaji daripada ITM, selain daripada kesanggupan memikul beban tugas dan amanah rakyat jika terpilih.

Setelah berbincang dengan ibu, saya masih ingat pandangan yang diberikannya kepada saya.  Ibu membuat kesimpulan jika rezeki itu Allah hendak berikan, dari mana jua akan dimasukkan-Nya kepada kita. Jika Allah hendak ambil, dari dalam mulut kita pun dikeluarkan-Nya. Dengan itu
yakinlah saya, ibu tidak ada halangan terhadap cadangan pimpinan di Kota Bharu itu.  Tetapi yang dibimbangi adalah kurangnya ilmu saya.  Saya tidak mampu memikul tugas berat itu tanpa ilmu yang mencukupi. Yang dapat disandarkan hanyalah keyakinan bahawa “Kita hanya merancang, Tuhan
menentukan”.

Saya dan beberapa orang bakal calon dipanggil oleh Tuan Guru, Pesuruhjaya PAS Kelantan, bagi tujuan penetapan calon bagi Pulai Chondong pada 21 Disember 1996.  Setelah diberi tazkirah ringkas tentang tugas dan amanah seorang muslim beliau menyatakan bahawa parti memutuskan
untuk mencalonkan saya sebagai calon PAS pada pilihan raya kecil Pulai Chondong.  Hari penamaan calon jatuh pada 26 Disember 1996 iaitu sehari selepas cuti Krismas manakala pilihan raya kecil berlangsung pada 6 Januari 1996.

Saya menerima keputusan itu dengan menyatakan jika itulah keputusan jamaah, insya’ Allah saya akan mengambil tanggungjawab dengan diiringi doa oleh Tuan Guru Pesuruhjaya.  Pada hari itu jugalah segala persiapan untuk meletakkan jawatan diuruskan di ITM Cawangan Kelantan
dan saya terpaksa juga ke ITM Shah Alam bagi mempercepatkan urusan memandangkan masa begitu singkat dan disuntukkan lagi oleh cuti hari Natal pada 25 Disember.

Segala urusan berjalan dengan lancar dan saya dengan rasmi diterima meletakkan jawatan pada 23 Disember.  Pada sepanjang proses memohon melatak jawatan saya ditanya oleh seorang pegawai tinggi ITM kenapa saya berhenti dari ITM dan melawan kerajaan.  Dengan nada yang rendah saya
nyatakan saya seorang pegawai yang baik, pernah dapat melintang dalam SSB dan dinaikkan pangkat kepada pensyarah kanan; yang saya tentang bukannya kerajaan tetapi parti Barisan Nasional.

Setakat ini dahulu dengan ucapan Selamat Hari Raya ‘Idilfitri; maaf, zahir dan batin.