Make your own free website on Tripod.com
Catatan Kelantan
Alat cegah kebakaran di pasar
MAJLIS Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sentiasa berusaha bagi mempastikan keselesaan dan keselamatan lebih 2,500 peniaga yang menjalankan perniagaan di Pasar Besar Siti Khatijah.

Sehubungan itu, MPKB akan mengadakan perbincangan dengan pihak Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar bagi tujuan tersebut. Langkah keselamatan dititikberatkan memandangkan ada di kalangan peniaga di pasar berkenaan menggunakan gas
untuk memasak.

Yang Dipertuanya, Haji Nordin Yaakub berkata, sehingga sekarang tahap keselamatan pasar berkenaan masih terkawal dan MPKB sudah menyediakan peralatan khas bagi memadam
kebakaran.

Peralatan berkenaan termasuk 30 alat pemadam kebakaran yang diletak di setiap laluan utama dan empat alat pemancut air.

Kelantan terima baki geran Pusat
MENTERI Besar, YAB Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat bersyukur kerana Kerajaan Pusat telah menjelaskan baki geran tahunan sebanyak RM3 juta kepada Kerajaan
Kelantan, akhir tahun lalu.

Baki itu adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan yang diterima bagi tahun lalu iaitu RM110 juta.

Selain bayaran geran itu, Kerajaan Kelantan juga menerima pampasan pemindahan batu-batan daripada Tenaga Nasional Berhad di projek hidro elektrik, Pergau sebanyak RM4.6 juta.

“Kita syukur kerana keprihatinan pihak berkenaan. Ini kemugkinan juga kebijaksanaan kita berpolitik. Biarpun Barisan Nasional dikira musuh politik kepada PAS tetapi dalam kesusahan kita perlu bekerjasama,” katanya.

Penyampaian cek itu telah dilakukan oleh Pengerusi Eksekutif TNB, Datuk Dr Tajuddin Ali kepada Menteri Besar.

RM44,550 untuk penghafal al- Quran
KERAJAAN Kelantan menyumbangkan sebanyak RM44,550 kepada 150 peserta penghafaz al-Quran sepanjang tahun lalu mengikut tahap-tahap kemampuan setiap penghafal.
 
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Haji Hashim Bani Abdul Hamid berkata Kerajaan Kelantan memberi sumbangan itu sebagai menghargai kesungguhan penghafal-penghafal al-Quran di negeri ini.

Pada Ogos tahun lalu seramai empat peserta telah mengharumkan nama Kelantan sempena majlis menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kuching Sarawak.

Katanya, Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyampaikan  sumbangan itu kepada 27 penghafaz al-Quran sempena pelancaran Bulan Sembahyang baru-baru ini.

Bantuan orang miskin tidak dipotong
PERUNTUKAN bagi membantu golongan miskin di negeri ini tidak akan dikurangkan biarpun negara menghadapi kegawatan ekonomi sekarang.

Jaminan itu telah diberikan oleh Menteri Besar YAB Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menghadiri satu majlis di kediaman rasminya di JKR 10, pada Disember lalu.

Menurutnya, perbelanjaan bagi membantu golongan miskin tetap diteruskan sebagaimana yang diluluskan dalam sidang belanjawan Dewan Undangan Negeri Kelantan, Oktober lalu.
 
Menteri Besar memberitahu peruntukan itu tidak dikurangkan kerana tidak mahu ‘mendera’ golongan kurang bernasib baik. “Walaupun ekonomi jatuh, kita tetap akan membantu sebagaimana biasa kerana tidak mahu dianggap mendera mereka yang dalam kesusahan,” ujarnya.