Make your own free website on Tripod.com
Perutusan Hari Raya Idilfitri YAB Menteri Besar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang telah memberi kekuatan jasmani dan rohani kepada kita sehingga kita telah berjaya menunaikan ibadat puasa sebulan dengan penuh khusyuk dan tawadhu’ yang meleburkan segala sifat ganas hawa nafsu dan para syaitan yang selalu menjadi elemen perosak terhadap kemuliaan insan di muka bumi ini.

Di atas kejayaan dan kemenangan tersebut pada hari ini (1 Syawal 1418), kita telah diberi keizinan oleh Islam untuk merayakannya.  Kegembiraan kita menyambut Hari Raya bukanlah bermakna kita bersedia untuk merungkai kejituan iman yang telah kita bina selama satu bulan pada bulan Ramadhan yang lalu.  Tetapi ia tidak lebih sebagai satu tanda untuk menzahirkan kejayaan tersebut dengan penuh rasa syukur dan terima kasih kita kepada Allah SWT.

Oleh hal yang demikian, Hari Raya tidak boleh kita anggap sebagai hari untuk bersukaria, memuaskan nafsu tanpa batasan dan ikatan daripada ajaran agama.  Hari Raya tidak boleh dijadikan hari untuk kita membalas dendam terhadap usaha pengekangan nafsu di sepanjang bulan Ramadhan dengan kita memberikan semula segala kehendak dan keinginan nafsu.  Sebaliknya apa yang dikehendaki oleh Hari Raya ialah sekadar merayakan kemenangan dan membaharui keazaman untuk terus melawan nafsu syaitan pada bulan-bulan yang akan datang.  Oleh itu bergembiralah pada Hari Raya sekadar yang diizin dan dibenarkan oleh ajaran agama kita.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ kepada para Pendokong Perjuangan Islam, Kakitangan Kerajaan Negeri, Anggota Pasukan Keselamatan, Badan-Badan Berkanun dan Swasta serta seluruh umat Islam di Negeri ini.