Make your own free website on Tripod.com
Nordin Yakub mahu susun semula MPKB
YANG Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), YBHaji Nordin Yaakub berkata struktur organisasi MPKB akan disusun semula agar selaras dengan struktur yang diperakui oleh pihak kerajaan.

Ekoran perubahan itu pertukaran tugas pegawai dan kakitangan sedang dan akan dibuat bagi memperkemaskan lagi jentera pentadbiran dan meningkatkan tahap produktiviti kakitangan.

Ketika berucap di majlis penyerahan watikah dan akuan penerimaan jawatan ahli-ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) pada 7 Januari lalu beliau menggariskan langkah-langkah lain yang akan diambil bagi memperkemaskan lagi pentadbiran dan tindakan MPKB.

Tentang masalah tunggakan cukai taksiran beliau menyatakan keyakinan jika kerjasama padu dapat dilakukan dengan ketua-ketua masyarakat, masalah pungutan tunggakan cukai taksiran akan dapat di atasi, apatah lagi jika kelebihan diplomasi para penggawa dan imam-imam digunakan bagi tujuan tersebut.

Selain dari itu MPKB akan memperkemaskan sistem pungutan hasil berkomputer bagi menambah dan meningkatkan pungutan hasil kerajaan tempatan itu.

Sehubungan dengan itu kaunter pandu masuk akan diperkenalkan di samping akan diperluaskan pungutan kaunter bergerak, pembayaran melalui kad kredit dan mempermudahkan kaedah melalui pembayaran melalui khidmat bank dan potongan gaji.

Dalam perkembangan lain, Haji Nordin berkata bagi menjamin tahap kebersihan terpelihara, pihak MPKB akan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan terutamanya Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MPKB Tahun 1980 dan Undang-Undang Kecil yang berkaitan dengan perlesenan.

MPKB juga, tambahnya, akan mempergiatkan aktiviti dan tindakan dalam membantu usaha Kerajaan Negeri bagi membendung atau mengurangkan masalah sosial di kalangan remaja.

Operasi bagi mencegah budaya lepak akan diterus dan dipertingkatkan lagi terutama di tempat-tempat tumpuan awam seperti perhentian bas, pusat membeli belah dan sekitar kawasan pantai.

Di samping itu MPKB akan berusaha mempergiatkan kursus, khemah kerja dan kaunseling bagi manfaat golongan tersebut.

Haji Nordin menambah lagi, struktur organisasi MPKB akan disusun semula agar selaras dengan struktur yang diperakui oleh pihak kerajaan.

Ekoran perubahan itu pertukaran tugas pegawai dan kakitangan sedang dan akan dibuat bagi memperkemaskan lagi jentera pentadbiran dan meningkatkan tahap produktiviti kakitangan.

MPKB juga akan mengambil langkah meningkatkan keindahan dan kebersihan bandar dengan memperkemaskan sistem pungutan sampah agar Kota Bahru bermejkan bandar tanpa sampah.