Make your own free website on Tripod.com
Enam pintu masuk sambut Tahun Melawat
Kelantan '98
PELANCARAN Tahun Melawat Kelantan (TMK) 1998 pada 1 Januari lalu, di enam pintu masuk ke Kelantan dianggap meriah dengan kehadiran ribuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Suasana Ramadhan tidak menghalang kehadiran mereka untuk berkunjung ke Kelantan yang sudah menjadi destinasi pelancongan istimewa di negara ini. Enam pintu utama itu terletak di enam jajahan di negeri ini iaitu di Pengkalan Chepa, Pasir Puteh, Gua Musang, Jeli, Pengkalan Kubur (Tumpat ) dan Rantau Panjang (Pasir Mas).

Sambutan secara rasmi itu diketuai sendiri oleh Menteri Besar, timbalannya dan anggota-anggota Exco serta Speaker Dewan Undangan Negeri.

Sebanyak 20 acara menarik disediakan khusus untuk pelancong asing bertandang ke Kelantan. Bermula dengan program Ihya Ramadhan pada 31 Disember tahun lalu dan pelbagai lagi prorgram menarik sedia diatur boleh menjadi pemangkin untuk menarik kira-kira 2.5 juta pelancong berkunjung ke negeri ini.

Pada akhir Mac pula rakyat Kelantan akan menyambut Hari Keputeraan Sultan Kelantan yang diselit dengan pelbagai acara menarik termasuk sukan berkuda.

Acara sambutan di semua pintu masuk turut mendapat kerjsama sepenuhnya agensi kerajaan negeri dan Pusat serta pihak berkuasa di negeri berjiran.

Ketua-ketua Pejabat Tanah dan Jajahan, pegawai polis dan agensi lain kerajaan turut serta memeriah lagi acara sambutan. Menteri Besar, YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota Exco, YB Ustaz Abdullah Ya’kub dan Ketua Jajahan Pasir Mas, Haji Nordin Abdul Manaf dan pegawai-pegawai kerajaan negeri serta Pusat menyambut kehadiran pelancong di atas jambatan Muhibah, Rantau Panjang.

Pelancaran sambutan itu bermula jam 10 pagi menerima kunjungan seramai 250 rombongan dari Sungai Golok yang diketuai oleh Ketua Pentadbir Daerah, Montri Mohamad. Rombongan itu turut disertai Ketua Polis Sungai Golok, Lef Toupan Latapong, Timbalan Speaker, Adul Wae Maet dan pegawai keselamatan dan awam.

Perbarisan pasukan polis Thailand mendahului ketibaan rombongan pembesar Sungai Golok dan diikuti kakitangan wanita yang membawa bunga manggar. Menteri Besar menyampaikan cenderahati kepada setiap anggota rombongan berkenaan.

Kehadiran bertali arus tetamu dan pelancong dari Thailand menyebabkan jambatan berkenaan menjadi sesak.

Timbalan Menteri Besar, YB Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, anggota Exco, YB Ustaz Mohamed Daud dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu, YB Haji Nordin Yaakub menyambut ketibaan pelancong yang turun dari kapalterbang di Lapangan Terbang Sultan Ismail.

Menteri Pembangunan Usahawan, YB Datuk Mustapa Mohamed yang kebetulan turun dari kapalterbang berkenaan turut disambut oleh mereka.

Di Pengkalan Kubur, Tumpat anggota Exco, YB Haji Omar Mohamed menyambut seramai 50 rombongan dari Tak Bai yang diketuai oleh Ketua Pentadbirnya, San Chai.

Ketua Jajahan Tumpat, Mohd Azamli Jamaluddin dan pegawai negeri dan Pusat turut hadir.

Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bersama Ketua Jajahan Gua Musang, Haji Ismail Latif menyambut pelancong berhampiran sempadan Kelantan - Pahang.

Manakala di Bukit Yong, Pasir Puteh, anggota Exco, YB Haji Hassan Abdullah menyambut kedatangan pelancong dari arah Terengganu.

Di Jeli, anggota Exco, YB Ustaz Ahmad Yakub menyambut pelancong yang datang dari negeri-negeri sebelah utara semenanjung.