Make your own free website on Tripod.com
Perbuatan khianat musnahkan sumber ikan air tawar
PEMBIAKAN ikan air tawar di sungai-sungai di negeri ini terbantut ekoran perbuatan tidak bertanggungjawab dan khianat di kalangan mereka yang mengambil jalan mudah dan singkat dalam penangkapan ikan.

“Antara perbuatan yang tidak bertanggungjawab, khia-nat dan kejam adalah penggunaan tuba, kejutan elektrik dan bahan letupan dinamik,” kata Pengarah Perikanan Negeri, Encik Sani Mohd. Isa.
Beliau memberi taklimat kepada YAB Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebelum upacara pelepasan 4,000 anak ikan di Sungai Rek Kuala Krai sempena lawatan kerja Menteri Besar ke jajahan itu baru-baru ini.

Menurut beliau, jika hanya cara yang dibenarkan sahaja digunakan oleh rakyat negeri, sungai, tasik dan alur-alur di negeri ini akan dipenuhi dengan sumber ikan dan ia mampu menampung keperluan ikan rakyat Kelantan.

Sehubungan dengan itu beliau mahukan seluruh rakyat sama-sama rasa bertang-gungjawab menjaga sumber ikan dengan bertindak membuat laporan kepada pihak berkuasa jika ada kegiatan menuba, menggunakan kejutan elektrik dan bahan letupan dinamit di tempat masing-masing.
Katanya,  kerana kawasan sungai, tasik dan alur yang terlalu luas adalah sulit bagi pihak berkuasa tanpa kerjasama orang ramai untuk bertindak terhadap penangkap-penang-kap ikan yang tidak bertang-gungjawab, khianat dan kejam.

Pada majlis itu Tuan Guru Menteri Besar, exco-exco kerajaan negeri YB Haji Hassan Muhamad, YB Haji Omar Muhammad, YB Haji Hassan Abdullah, Ketua Jajahan Haji Ismail Latiff dan Encik Sani sendiri melepaskan benih ikan patin, kap kepala besar dan lampam jawa.