Make your own free website on Tripod.com
Masyarakat bukan Melayu mahu kerajaan pimpinan Tuan Guru kekal
MASYARAKAT Kelantan dari kalangan bukan Melayu mahukan kerajaan pimpinan YAB Menteri Besar Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dikekalkan.

Mereka juga bertegas bahawa sebarang usaha untuk menghancurkan kerajaan dan menggangu kepimpinan Tuan Guru dengan apa cara sekalipun hendaklah dianggap suatu pengkhianatan kepada hati dan perasaan rakyat Kelantan.

Kemahuan itu dinyatakan oleh wakil-wakil dan ketua kaum dalam perjumpaan dengan YB Menteri Besar anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri di bilik mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim baru-baru ini.

V. Candaran a/l Veyapuri, seorang wakil kaum India berkata kaumnya merasa lebih selamat dan terhormat berada di bawah kerajaan pimpinan Tok Guru Menteri Besar kerana sebagai ketua kerajaan Menteri Besar melaksanakan kepim-pinan yang baik kepada semua bangsa.

Katanya, sebelum kerajaan sekarang wujud pada tahun 1990, orang India amat takut kerana orang Islam sendiri asyik menceritakan hal-hal yang menakutkan yang bukan Islam tetapi apa yang berlaku sekarang bukan menakutkan tetapi menyebabkan kami rasa selamat dan hormat.

Rakannya, Musa Amin seorang India Muslim berkata cara penerangan tentang Islam yang dibuat oleh Tok Guru Menteri Besar memudahkan orang sepertinya menerangkan tentang kebaikan Islam kepada yang bukan Islam kerana dalam Islam manusia tidak dibezakan dari segi paras rupa tetapi iman dan taqwa mereka.

Katanya, kerajaan kepimpin-an Islam yang tidak memaksa yang bukan Islam memeluk Islam amat disenangi oleh masyarakat kaum India sungguhpun memilih Islam digalakkan kerajaan.
Ting Lai Hong, wakil kaum Cina juga mendakwa kaumnya senang hati hidup di bawah pemerintahan Tok Guru Menteri Besar dan berazam akan memastikan kerajaan yang ada selamat dalam pilihan raya akan datang dan Tok Guru pula akan kekal pada kerusinya sekarang.

“Sebarang desakan yang mahukan beliau meletak jawatan adalah suatu bentuk mengganggu perasaan dan menyakitkan hati bukan sahaja rakyat Kelantan yang beragama Islam tetapi juga rakyat yang bukan Islam. Mereka yang membuat desakan sengaja mencari permusuhan dengan rakyat Kelantan,” tegasnya.

Eh Chan a/l Cahudi yang mewakili masyarakat berketurunan Siam pula mendakwa sikap Menteri Besar yang tidak memandang jijik kepada kalangan yang bukan Islam, malah sanggup mengunjungi perkampungan orang Siam dan bertanya khabar secara terus tentang susah senang mereka menyebabkan masyarakat berkuturunan Siam menyayangi beliau seperti menyayangi nyawa dalam badan sendiri.

Beliau mahukan mana-mana pihak supaya tidak menganggu Tok Guru Menteri Besar dalam meneruskan corak pemerintah-an berteraskan Islam yang terbukti bukan sahaja memberi untung kepada mereka yang beragama Islam tetapi turut memberi laba kepada kalangan yang bukan Islam.
“Keadaan seperti itu tidak berlaku pada masa yang lalu sehinggakan ketika itu orang bukan Islam amat takut hendak berbincang tentang Islam. Tetapi Islam berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Tok Guru adalah sesuatu yang memudah dan menyenangkan, malah Islam mempunyai peraturan dan ketetapan melindungi orang bukan Islam,” tegasnya.