Make your own free website on Tripod.com
Insya’ Allah bererti jaminan?
INSYA’ Allah, kalau diterjemahkan secara bahasa bermaksud, ‘dengan izin Allah sesuatu akan berlaku’.  Ia merupakan satu harapan dan doa sekaligus.  Amat baik sebagai tanda pengharapan dan doa hamba kepada Allah.

Namun di manakah silapnya, saya tidak dapat pastikan.  Suatu hari datang sekeluarga memohon tapak rumah kepada saya.  Mereka menceritakan tentang keperluan, kesempitan hidup dan harapan yang tinggi agar saya dapat carikan lot tanah kerajaan untuk mereka.

Saya seperti biasa menjawab dengan tenang dan yakin, “insya’ Allah akan saya usahakan.” Bagi saya ini jawapan yang paling sesuai.

Selang dua minggu, mereka datang lagi berjumpa dengan saya bertanyakan lot tanah yang dipohon.  Saya menjelaskan, sehingga kini belum ada lagi lot tanah kerajaan untuk dibahagikan.

Dengan tidak disangka-sangka beliau terus memarahi saya.  Katanya, “Dulu Tok Wakil berjanji nak bagi lot tanah, tapi hari ini kata tidak ada pula.  Kalau macam ini, Tok Wakil juga cakap bohong.”
Terpinga-pinga saya dibuatnya.  Saya cuba mengingati apa sebenarnya yang telah saya katakan kepada mereka semasa pertemuan dahulu.  Saya amat pasti tidak ada lain yang diucapkan kecuali, “Insya’ Allah akan saya usahakan.”

Peristiwa ini bukan sekali. Setiap kali permohonan diajukan, saya  jawab, “Insya’ Allah.”  Tetapi bagi mereka ini bermakna “boleh”.

Terfikir pula saya, malah masih mencari-cari apakah perkataan yang sesuai untuk menggantikan “Insya’ Allah” bagi Tok Wakil.  Sememangnya sampai bila pun saya tidak akan jumpa, sebab itu sudah diajar oleh Nabi s.a.w.  Cuma apa yang boleh saya buat ialah penjelasan tambahan selepas perkataan: “Insya’ Allah, akan saya usahakan”, mesti ditambahkan dengan pejelasan berkali-kali: “Saya tidak dapat jamin akan dapat, saya hanya usahakan, kalau dapat, baik; kalau tidak dapat, kita akan cuba lain kali.”

Semua ini mengajar saya tentang harapan masyarakat pada Tok Wakil  mereka.  Saya yakin mereka bukan tidak faham makna “Insya’ Allah” tetapi itulah harapan.  Harapan yang sungguh tinggi kepada Tok Wakil.  “Insya’ Allah” dianggap “sudah dapat”.

“Berusahalah kamu, wahai Tok Wakil!”  Kadang-kadang itulah kata hati pada diri sendiri.
Alhamdulillah, sebenarnya Tok Wakil tidak bergerak berseorangan.  Dalam PAS, Tok Wakil adalah sebahagian daripada anggota parti.  Tanggungjawab dipikul oleh parti, oleh gerakan Islam secara jama’ie.  Di sana terdapat ketua cawangan, pemuda, muslimat, penghulu dan ahli PAS yang sememangnya memberi bakti untuk meninggikan Syariat Allah di muka bumi ini. Realiti inilah meringangkan beban harapan rakyat kepada Tok Wakil.  “Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.”

Begitu juga doa saya kepada Allah agar saya sebagai Tok Wakil tidak lupa tanggungjawab kepada rakyat, kepada orang parti, kepada parti dan kepada Allah. Semoga dilindungi daripada segala kefasikan dan diperlorong kepada segala makruf dengan berpanjangan dalam hidayah Allah.