Make your own free website on Tripod.com
Fatwa hendaklah diwartakan dengan perkenan Sultan
DEWAN Undangan Negeri Kelantan yang bersidang pada 22 Jun lalu meluluskan Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) (Pindaan) 1998.

Dengan pindaan ini, setiap fatwa yang diputuskan oleh majlis itu atau jawatankuasa jamaah ulamak perlu mendapat kelulusan daripada Sultan Kelantan terlebih dahulu sebelum diwartakan.

Pindaan itu yang dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan, Dakwah dan Penerangan, YB Mohammad Daud, bertujuan menjelaskan secara lebih mendalam mengenai bidang kuasa MAIK dalam mengeluarkan sesuatu fatwa.

MAIK menerusi Jemaah Fatwanya dikehendaki mendapatkan perkenan Sultan Kelantan sebelum mewartakan sesuatu fatwa.

Ketika membahaskan cadangan pindaan ini, YB Nassaruddin Daud (PAS-Meranti) menegur pihak pembangkang yang dianggapnya tidak memahami maksud perkataan fatwa hingga boleh mengelirukan masyarakat kerana tidak membezakan yang mana hukum yang diwajibkan berpandukan kepada nas-nas qatie dan yang mana pula hukum yang diadakan hasil ijtihad para ulamak atau fatwa ulamak.
Sebelum itu, ketua pembangkang, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir (BN-Melor) berhujah bahawa banyak kenyataan pemimpin politik di negeri ini dianggap sesetengah pihak sebagai fatwa termasuk mengenai isu ekonomi, fitnah terhadap pemimpin lain dan gejala murtad.

Turut mengemukakan hujah ialah YB Ahmad Rusli Ibrahim (BN-Salor) dan YB Adhan Kechik (BN-Kemahang).

Speaker Dewan, YB Wan Abdul Rahim bin Wan Abdullah, bertikam lidah dengan Adhan untuk menghentikan ucapan Adhan apabila Adhan cuba menyentuh tentang kegiatan Unit Halaqat Negeri kerana perkara itu terkeluar daripada kehendak perbahasan.