Make your own free website on Tripod.com

ADUN Tendong sertai Kerajaan PAS

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN), YB Hussein Ahmad, berubah kerusi dari barisan pembangkang ke penyokong Kera-jaan ketika Dewan Undangan Negeri Kelan-tan memulakan sidang pada 2 Mac lalu.

Speaker, YB Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, ketika memulakan sidang, mengisytiharkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Tendong itu telah menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Dengan kedudukan ini, PAS sebagai parti kerajaan Kelantan mempunyai 26 wakil manakala Barisan Nasional sebagai pembangkang, 17.

Berita mengejut penyertaan Hussein ke dalam PAS disiar oleh alat-alat sebaran am sehari sebelum Dewan bersidang.

Inilah kali ketiga Dewan mengalami perubahan sejak pilihan raya umum tahun 1995.
Perubahan pertama berlaku pada Julai 1996 selepas terpisahnya Parti Melayu Semangat 46 dari Angkatan Perpaduan Ummah (sebuah gabungan longgar yang dianggotainya bersama-sama PAS, Berjasa dan Hamim yang  memenangi pilihan raya pada 1990).

Perpecahan itu menyaksikan PMS-46 dibubarkan dan ahli-ahlinya di Dewan Undangan Negeri Kelantan menyertai Barisan Nasional sebagai pembangkang, kecuali YB Haji Nordin Yaakob (ADUN Kelaboran) menyertai PAS manakala empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dari PMS-46 itu, iaitu YB Dato’ Rozali Isohak, YB Kpt. Mohd. Nor, YB Daud Jaafar dan YB Nik Mustapha Nik Loding terus menduduki kerusi-kerusi Kerajaan.

Perubahan kedua berlaku pada November 1996. YB Kpt. Mohd. Nor meninggal dunia. Ini menyebabkan pilihan raya kecil diadakan di Pulai Chondong kawasan yang Allahyarham menangi sebagai calon PMS-46 pada pilihan raya umum tahun 1995.

Pilihan raya kecil tersebut dimenangi oleh PAS melalui calonnya Haji Zulkifli Mamat setelah mengalahkan calon Barisan Nasional dari UMNO dengan kelebihan 118 undi.

Berikutnya, Dewan berubah kali ketiga apabila Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan dari bekas PMS-46 itu meletakkan jawatan dan ditempatkan sebagai pembang-kang (Barisan Nasional) di Dewan.

Kali keempat Dewan berubah apabila ADUN Semerak dari PAS, YB Hj. Sulaiman Ahmad meninggal dunia.  Pilihan raya kecil berikutnya dimenangi oleh Barisan Nasional, iaitu Kamaruddin Mohd. Noor.


HOME